Hari ini rasa terpanggil untuk berkongsi hasil pandangan & penulisan salah seorang tokoh ekonomi iaitu Allahyarham Datuk Salleh Majid berkenaan ekonomi negara Malaysia sebagai panduan kita bersama. Insyaallah, sangat menarik & bermanfaat untuk dikongsikan bersama….
Ekonomi Negara Malaysia : Daya Saing, Gaji Tinggi, inovatif Dan Kreatif
SAYA tertarik dengan hasrat untuk meningkatkan tahap gaji pekerja kita kepada tahap yang lebih tinggi. Maknanya gaji pekerja kita lebih tinggi daripada sekarang. Ini sesuatu yag sudah lama patut dilakukan.
Dulu, dalam tahun 1970-an, kedudukan dengan negara-negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura lebih kurang sama saja. Kini, selepas 30 tahun, kita sudah jauh ditinggalkan mereka. Gaji pekerja di negara-negara tersebut jauh lebih tinggi daripada kita. Di negara kita daripada 1991 sehingga 2003, dikatakan purata gaji naik hanya 1 peratus sedangkan negara-negara tersebut pada satu masa sama dengan kita naik 10 peratus. Kalau tengok Singapura, menteri mereka gaji paling lumayan. Perdana Menteri mereka gaji berpuluh ganda gaji Presiden Amerika Syarikat. Sebab apa? Sebab orang putih kata, “kita bagi kacang, kita dapat monyet.”
Yang naik berpuluh kali ganda di negara kita bukan gaji pekerja tapi harga rumah, harga hartanah naik gila-gila. Sebab apa? Bukan orang yang beli rumah nak duduk di rumah itu tetapi nak jadi bahan spekulasi. Masyarakat yang suka spekulasi ini, tahu-tahulah… Pasaran saham pun orang Melayu mana tahu nak lakukan spekulasi? Naiklah melambung macam Repco dulu sampai RM150 sesaham. Bila tengok tiada isi, tapi orang kejar juga macam nak gila. Bila kita tegur jangan beli, dia balas balik menyembur kita mengatakan apa kita peduli, bukan duit kita. Inilah yang menyebabkan segala-galanya jadi bahan spekulasi.
Macam juga yang jual rumah harga gila-gila.
- Bila suruh buat rumah murah, semua tak mahu kononnya tak untung.
- Kementerian Perumahan kita entah buat apa pun tak tahu.
- Berapa ramai orang yang beli rumah terpedaya. Rosak sana-sini, kopak-kapik dan yang ambil pinjaman rumah tak siap pun beribu. Bila pemaju tak boleh jual rumah, mereka buat pameran. Yang bingung-bingung, tengok ada potongan sikit pun beli. Patut mereka ini dibiarkan saja.
Cuba bayangkan dalam tahun 1978 harga rumah teres dua tingkat di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, suatu kawasan perdana ialah RM60,080. Pada 1989, harganya RM200,000. Sekarang, cuba teka harga rumah yang sama, dinding sama, kawasan kecil sikit lagi batu-bata sama. Kalau tak ada RM600,000, jangan cakap.
Ekonomi Negara Malaysia : Perbezaan Pendapatan Tahun 1970 an VS Pendapatan Rakyat Malaysia Sekarang
- Gaji akauntan 1978 yang baru mula kerja RM2,000
- Sekarang gaji mula akauntan pun RM2,000 juga.
Itu sebabnya ramai yang kerja luar negara kerana lebih diiktiraf titik peluh mereka. Lepas itu, bila tiba krisis macam sekarang, ada syarikat ambil kesempatan. Kononnya krisis, jadi kena kurangnya kos, bagi VSS kepada kakitangan supaya boleh ambil anggota yang lebih murah lepas mereka berhenti. Sikap begini memang menjadi lumrah syarikat swasta. Sampai bila pun orang kita tak ke mana. Kemudian kita berhasrat nak tingkatkan daya saing negara. Satu hajat yang murni. Sekarang bandingkan negara kita dengan 134 negara lain :
- Kita duduk nombor 21
- Dua tahun lepas kita nombor 19
- Empat tahun dulu kita nombor 16
Maknanya, kita dah jatuh. Laporan Daya Saing Dunia dari Switzerland (World Competitiveness Report) menyatakan orang yang buat bisnes dengan kita beri beberapa faktor yang menjadi penghalang utama. Bukan saya yang kata, tapi boleh laporan ini sendiri.
- Nombor satu penghalang: Perkhidmatan awam yang kurang cekap
- Kedua, rasuah.
- Ketiga, jenayah dan kecurian (dua orang mengandung mati kena ragut, mat rempit menjadi-jadi, tengah tukar tayar, kena tembak di siang hari).
- Keempat, ketidakstabilan dasar (hari ini naik tol, esok tak jadi).
- Kelima, tenaga kerja yang kurang terlatih, bukan tak terlatih tapi kurang terlatih. Mana tidaknya, ramai orang Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan sebut saja rakyat mana – kita ada. Malahan ada kawasan yang dia kontrol
Jadi kita tengok jiran kita nombor lima. Rakyat dia satu per sepuluh daripada penduduk kita. Ini menunjukkan yang membuatkan sesebuah negara itu berdaya saing ialah bakat rakyatnya. Jepun, Switzerland, semua tak ada hasil bumi tetapi duduk di atas tangga berdaya saing.
Kita macam-macam hasil bumi ada tetapi bukannya makin naik, tetapi makin menurun.
Ekonomi Negara Malaysia : Produktiviti Perlu Ditingkatkan
Macam saya tulis dulu, kalau setiap orang pekerja tambah kerja 10 minit sehari, kalau tiga juta pekerja dah ada 20 juta minit bertambah. Ini tidak – terlekat dengan kesesakan lalu lintas saja berjam-jam. Nak naik pengangkutan awam, tak cukup koc. Bau busuk dan hapak, tak ada hawa dingin, tak cukup line, nak kena hantar pergi stesen. Kalau tinggalkan kereta, hilang radio. Di mana datangnya inovatif dan kreatif pekerja kalau tidak diberikan latihan? Latihan untuk jadi inovatif dan kreatif tak sama macam pergi kelas biasa. Inovatif dan kreatif guna otak sebelah kanan, logik, matematik dan hujah guna otak sebelah kiri. Jadi macam mana nak digerakkan otak sebelah kanan.
Memadaikah kalau dengan menyuruh jadi inovatif dan kreatif. Kalau dia segan nak baca buku, (rakyat Malaysia baca purata dua halaman setahun), yang ada pengetahuan mana nak dapat ilmu?
Pelatih yang bakal melatih inovasi dan kreativiti sendiri mesti dilatih dahulu. Macam tongkat ali dah bertahun-tahun di hutan kita, orang luar datang buat macam-macam dengannya. Kita yang tidak kreatif. Amang bijih pun boleh jadi bahan perkilangan tapi bank kita akan tolak sebarang permohonan berkaitan perkara-perkara sebegitu. Jadi, satu golongan saja nak jadi kreatif dan inovatif, tak jadi juga.
Dunia sekarang, dunia pengetahuan. Ekonomi sekarang, ekonomi pengetahuan K-ekonomi. Kita sudah siapkah nak pindah kepada K-ekonomi? Inovatif dan kreatif bukan lagi K-ekonomi tetapi era konsep atau dunia konsep. Di mana kita dengan nanoteknologi misalnya?
DATO’ SALLEH MAJID ialah Felo Utama Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
Dikesempatan ini, mari sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham. Apa yang anda baca di atas adalah hasil pandangan daripada penelitian & pengalaman beliau memegang jawatan yang besar di Bursa Malaysia dan tahu selok-belok ekonomi selama beliau hidup. Cuma beliau bukan menteri yang “mencorakkan ekonomi negara Malaysia” sekarang ini.
P/S : Apa pula penelitian & pandangan yang anda ingin kongsikan merujuk kepada penulisan Allahyarham Dato’ Salleh Majid ini mengenai ekonomi negara Malaysia masa kini?