ANAK RAKYAT JELATA DENGAN SULTAN
Bermula dari pertemuanku dengan Sultan Idris Shah di rumah Sheikh Abdullah Fahim, di Kepala Batas, Seberang Perai pada tahun 1954, apabila Baginda menduduki takhta Kerajaan Negeri Perak, maka aku sebagai rakyat marhein sentiasa berdampingan dengan Baginda.
Elok aku mencatat pengalamanku di sini, iaitu kira-kira dua tahun sebelum Sultan Yusuf Izzuddin Shah mangkat, aku sering mengadap Baginda dan Raja Perempuan Ta’yah di Istana Iskandariyah, Bukit Chandan. Kadang-kadang aku datang ke Istana Iskandariyah bersama Raja Razman dan Raja Hanif Shah. Mereka adalah pensasihat kebudayaan dan hal ehwal rakyat kepada Sultan Yusuf.
Sultan Yusuf seorang Raja memerintah yang kuat berpegang pada semangat kebangsaan Melayu. Dalam percakapan denganku, Baginda lebih cenderung kepada parti-parti politik yang telah diharamkan oleh Kerajaan Inggeris, iaitu kesatuan Melayu Muda (KMM), Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
KEBANGSAAN MELAYU
Mengenai UMNO, Sultan Yusuf telah menerangkan kepadaku sama dengan yang telah diterangkan oleh Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz bekas Setiausaha Agung UMNO Malaya.
Menurut Sultan Yusuf, apabila parti Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya(PKMM) telah ditubuhkan, Kerajaan British rasa tergugat dan sentiasa mencurigai parti-parti itu. Pada satu malam Ahad, akhir bulan Disember 1945, Penasihat-penasihat British (British adviser) Negeri-negeri Pahang, Perak, Kedah, Selangor, Negeri sembilan dan Johor telah mengadakan majlis jamuan makan malam dan tari menari, di sebuah hotel, di Cammeron Highlands, iaitu sempena menyambut perayaan Hari Christmas.
Di antara orang-orang kenamaan Melayu yang telah diundang ke majlis itu, ialah Raja Muda Yusuf, Onn bin Jaafar, Panglima Bukit Gantang, Haji Ab dul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz, Raja Kamaruzzaman bin Raja Mansor(Raja Kecil Tengah), Zainal Abidin bin Haji Abas, Raja Haji Shahar bin Raja Harun dan Raja Azam bin Raja Kamaruzzaman.
HIZBUL MUSLIMIN
Dalam majlis itu, para Penasihat British tersebut telah mengingatkan Onn Jaafar, Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab dan mereka yang hadir, bahawa ’bahaya dari gunung’ akan tiba, iaitu Parti Hizbul Muslimin pimpinan Ustaz Abu Bakar al Baqir, Gunung Semanggul, Perak, bahaya kepada orang-orang Melayu yang mendapat pendidikan England atau London Orientation dan masa depan mereka akan menjadi kabur.
Sultan Yusuf lagi, bahawa penasihat-penasihat British itu telah menjelaskan, iaitu Hizbul Muslimin adalah membawa ideologi Islam seperti yang dianut oleh parti Ikhwanul Muslimin Mesir. Kalau parti itu berjaya memerdekakan Tanah Melayu, masalah besar akan timbul, di antaranya mereka yang berpendidikan England atau London Orientation akan tidak ada tempat atau peluang memerintah Tanah Melayu kerana mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan Islam.
Penasihat-penasihat British itu telah menasihatkan pemimpin-pemimpin Melayu itu supaya menubuhkan sebuah parti politik nasionalis Melayu untuk membunuh Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
AGAMA ISLAM
Menurut Sultan Yusuf, para menasihat British itu menentang konsep perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), iaitu Satu negara:Negara Melayu, satu bangsa:Bangsa Melayu, satu bahasa: Bahasa Melayu dan agama Islam menjadi agama Negara Melayu.
Dalam perjumpaan itu, Onn Jaafar telah memaklumkan kepada penasihat-penasihat British itu, iaitu orang Melayu sukar untuk disatukan dalam sebuah parti politik, kerana mereka mempunyai sikap kenegerian yang kuat.
Penasihat-penasihat British itu telah memberi jaminan, bahasa pihak Pejabat Setiausaha Tanah Jajahan British ada isu yang boleh menyatukan orang-orang Melayu.
”...ape isunye..., mike tau?’ Sultan Yusuf bertanya kepadaku.
”Ampun, Tuanku, patik ..., Tuanku...,”aku menyembah kata.
”...Malayan Unionle..., deme udah susun...,”titah Sultan
Yusuf.
Sultan Yusuf memberitahu lagi, setelah British mengadakan Malayan Union, maka Onn Jaafar dan Haji Abdul Wahab serta rakan-rakan mereka telah menubuhkan parti kebangsaan Melayu, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu – PEKEMBAR atau UMNO.
ANAK DARA
Raja Perempuan Taayah suka membuat kuih muih tradisional Melayu dan almarhumah juga suka santap kuih muih tersebut. Kuih muih itu di antaranya, ketayap, anak dara dua sebilik, lepat pisang, buah Melaka, badak berendam dan lepat ubi. Tetapi kebanyakan kuih muih itu dibuat oleh tukang-tukang masak (perempuan) atau dayang-dayang Istana.
Aku sering dijemput oleh Raja Perempuan Taayah untuk makan kuih muih di istananya. Baginda memerintahkan pemandu kereta istana, Chu Saad mengambilku dengan kereta istana (Morris Minor) dan membawaku ke Istana Iskandariyah.
Pada satu hari, Raja Perempuan Ta’ayah telah bertanya kepadaku mengenai hukum orang menyiksa anak yatim. Aku telah menerangkan kepadanya mengenai Allah menegah melakukan tidak baik kepada anak yatim. Almarhumah telah memberitahu kepada aku, bahawa dia telah menyiksa seorang anak yatim di istana, di Batu Gajah, iaitu dengan menggosok kepala anak yatim itu dengan seterika yang menggunakan arang kayu. Tidak lama kemudian kepala Allahyarhamah telah menjadi botak.
POLITIKUS MELAYU
Sultan Yusuf menceritakan kepadaku akan hal-hal mengenai kehidupan rakyat jelata, karenah para politikus Melayu yang berselisih faham sesama mereka. Ada di antara mereka menyertai perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan, tetapi mereka itu menjadi orang-orang harapan penjajah Inggeris.
Almarhum Sultan Yusuf juga telah menceritakan kisah ’putus cinta’nya dengana bekas kekasih dan isterinya Nurizan. telah bercerai dengan Nurizan kerana perempuan itu telah jatuh cinta kepada seniman P.Ramlee. Perkahwinan Norizan dengan P.Ramlee berakhir dengan perceraian juga.
Sepanjang tahun-tahun aku berdampingan dengan Sultan Perak, Al marhum Sultan Idris Shah, aku telah melibatkan diriku dengan Baginda sebagai:
• Juru foto.
Pada waktu-waktu mengikut Baginda melawat ke kawasan luar bandar, aku telah diminta menggunakan kameranya untuk mengambil berbagai-bagai objek.
• Pemburu binatang liar.
Mengikut Baginda memburu haiwan-haiwan liar seperti rusa
dan kijang dengan dikawal oleh anggota-anggota Pasukan Keselamatan dalam rimba raya Banding, Hulu Perak.
• Tukang motorbot.
Pada waktu-wakut Baginda bertukang motorbotnya, bila aku tiba, baginda berbincang denganku mengenai botnya, seperti huluan dan buritan, perut, lantai bot dan sebagainya.
• Pelukis.
Baginda sering melukis gambar-gambar pemandangan dan abstract. Pada waktu-waktu aku berada di sisi Baginda sedang melukis, Baginda telah bertitah tentang keindahan lukisan-lukisannya yang abstract itu. Kadang-kadang kami ketawa melihat gambar gadis berbogel lukisan karya Baginda.
• Bomoh.
Pada masa Baginda baru pulang dari Keroh (Pengkalan Hulu), iaitu setelah bertemu dengan perempuan cantik – isteri seorang lelaki petani Siam di Teluk Ayam, Betong, Selatan Siam-Baginda telah menunjukkan kepadaku gambar perempuan itu yang diambil dengan kameranya.
Baginda telah meminta aku menjampi gambar prempuan itu supaja dia jatuh hati kepada Baginda.Mahu tidak mahu aku telah menjampi gambar perempuan itu dengan al Fatihah dan ayat-ayat Quran. Kemudian perempuan itu telah menganut agama Islam dan berkahwin dengan Baginda, memakai Satira.
• Penggubah lagu.
Pada waktu Baginda sedang menggubah lagu untuk pancaragamnya, “Rashah Combo’, Baginda telah bertanya kepadaku tentang kata-kata puitis untuk lagunya. Sepanjang bulan-bulan ‘cinta dan rindu’ Baginda kepada Satira, Baginda telah minta aku menulis sajak atau lirik lagu-lagunya yang berunsur cinta dan rindu. Di antaranya ’Gunung Kenerong’ Lagu itu telah dimainkan oleh ‘Rishah Combo’ dan Radio Malaysia stesen Ipoh.
• Orang bijak Raja.
Pada masa Menteri Besar, Tan Sri Ghazali Jawi menjadi Menteri Besar Perak kali yang kedua (1974 – 1977) dan Datuk Seri Wan Mohamed bin Haji Wan Ten (1977 –1982) telah berlaku krisis antara Baginda dengan Menteri Besar dan pihak UMNO, maka aku telah diminta oleh Baginda menjadi ’orang bijak raja’ penasihat hal ehwal politik peribadi Baginda.
(Disunting dari , manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertonmgkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)