ROMPAKAN BN UMNO

ROMPAKAN BN UMNO

CLICK at HOME..if it said this blog not exist.

Sunday, 7 April 2013

Realiti Mengapa Kerajaan Malaysia Wajar Biayai Pendidikan Tinggi


PRU13 : 8 Realiti Mengapa Kerajaan Malaysia Wajar Biayai Pendidikan Tinggi

8 Realiti Mengapa Kerajaan Malaysia Wajar Biayai Pendidikan TinggiPenubuhan institusi pendidikan ialah satu usaha murni dalam mewartakan proses penggarapan ilmu pengetahuan dan penyelidikan secara formal. 

Universiti-universiti terawal dalam sejarah dunia seperti Al-Azhar, Bologna, Oxford, Palencia, Cambridge dan University of Naples (universiti awam tertua dunia, 1224) telah dibina oleh tamadun-tamadun awal dunia berlandaskan satu tujuan; sebagai pusat penyelidikan, penyampaian ide, pendidikan dan pembelajaran, serta perkembangan ilmu pengetahuan melalui medium penulisan. 

Realitinya hal ini bercanggah sama sekali dengan tujuan penubuhan kebanyakan universiti hari ini yang kelihatan berubah menjadi institusi pengiktirafan, pengijazahan dan yang paling malang sekali, sebagai satu perniagaan bertunjangkan keuntungan.
Ibnu Khaldun, tokoh sejarawan, sosiologi dan ekonomi dalam makalah beliau Muqadimmah (Prolegomenon) telah mengemukakan hujah berikut: rakyat ialah wadah mencapai kedaulatan dan kekuatan sesebuah kerajaan. Kekuatan ini lahir daripada kemakmuran ekonomi yang dibina oleh pembangunan modal insan (pendidikan). Kemajuan ini hanya boleh terhasil melalui keadilan dan keterangkuman untuk semua. Aristotle turut mencadangkan bahawa “Pendidikan itu seharusnya bersifat tunggal dan sama rata untuk semua.”
Sesebuah sistem yang mengamalkan diskriminasi dalam pendidikan berdasarkan kemampuan ekonomi bakal menatijahkan ketidakseimbangan dalam kualiti modal insan dan tenaga kerja yang bakal menjadi tulang belakang sesebuah masyarakat. Kedua-dua hujah di atas ialah tesis utama artikel ini.
Pembiayaan pendidikan tinggi di Amerika Syarikat ditanggung oleh individu manakala kebanyakan negara Eropah pula menyediakan pendidikan tinggi secara percuma di institusi-institusi awam. Sistem Eropah lebih sesuai dan baik untuk diamalkan di Malaysia. 

Harus diingat, pembentukan dasar pendidikan negara tidak hanya bergantung pada satu faktor, tetapi melibatkan interaksi pelbagai faktor ekonomi, sosial dan politik dalam jangka masa yang panjang. Berikut terdapat beberapa realiti tentang Malaysia yang disingkap dan disampaikan di sini untuk memahami peri pentingnya untuk kerajaan membiayai pendidikan tinggi sepenuhnya;
Realiti #1: Faedah pendidikan itu dinikmati segenap masyarakat
Nilai positif sebenar sesebuah masyarakat yang berpendidikan itu sukar diukur dari segi kuantitatif semata-mata. Dalam konteks Malaysia sebagai negara yang sedang membangun, pendidikan tinggi menjadi resipi utama dalam membentuk masyarakat berkesedaran sivik, tenaga kerja berkemahiran tinggi dan nilai modal insan serta hasil keluaran negara yang kompetitif. 

Tidak dinafikan pembiayaan pengajian tinggi oleh kerajaan memerlukan pengorbanan dari segi wang ringgit, tetapi jika kita lalai dalam pelaburan ini, masa depan negara yang bakal “terkorban”. 

Walter W. McMahon (pakar ekonomi University of Illinois) telah menggariskan manfaat individu berkelulusan ijazah seperti kesihatan tubuh badan yang lebih baik serta pembangunan kognitif yang lebih baik di kalangan anak-anak mereka. 

Kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, penurunan kadar dan kos jenayah seperti kos penjara adalah antara manfaat lain yang disumbangkan oleh individu berpendidikan kepada masyarakat.
Realiti #2: “Terperangkap di tengah-tengah”
Malaysia kini terperangkap di tengah-tengah status maju dan mundur, dan peluang pendidikan merupakan salah satu faktor utama penyebab keadaan ini. Hujah Robert Reich, mantan Setiausaha (Menteri) Tenaga Buruh dan Profesor di UC Berkeley, boleh dianggap cocok untuk menerangkan belenggu yang sedang dihadapi oleh Malaysia kini. 

Untuk menarik pelaburan modal dan kontrak asing, sesebuah negara itu mempunyai dua pilihan; sama ada menawarkan kepada para pelabur asing sebuah ekonomi yang bersaing melalui harga yang rendah dengan mengenakan cukai dan gaji pekerja yang rendah, ataupun ekonomi yang menawarkan modal kerja dan infrastruktur berkualiti tinggi hasil pelaburan kerajaan yang tinggi.
Di Malaysia, pertumbuhan gaji hanya setanding dengan pertumbuhan produktiviti sehingga lewat 1990-an. Sejak 1996 pula, kita terperangkap dalam “middle-income trap”, di mana majoriti isi-isi rumah Malaysia berpendapatan sederhana-tinggi, menurut definisi World Bank. 

Malah, Malaysia mengalami pertumbuhan gaji riil (real) yang negatif secara puratanya sejak 10 tahun lepas; pertumbuhan gaji di Malaysia negatif jika tidak kerana inflasi. Bagaimanakah Malaysia ingin memacu ke arah negara berpendapatan tinggi jika 77% tenaga kerja Malaysia hanya berkelulusan SPM atau lebih rendah? Majoriti pekerja Malaysia dikategorikan sebagai kurang mahir yang mana tidak akan memungkinkan mereka mendapat gaji yang lebih tinggi.
Realiti #3: Pendidikan sebagai batu asas ekonomi berdaya saing tinggi
Dalam konteks pelaburan asing secara langsung (FDI) pula, Malaysia perlu menawarkan sesuatu yang mampu menarik minat pelabur asing secara komersial. Permasalahannya berlaku, sekali lagi di mana Malaysia berada di tengah-tengah; tenaga kerja Malaysia tidak murah namun tidak juga berkemahiran tinggi. 

Justeru itu, nilai komersial yang ditawarkan oleh Malaysia kepada bisnes-bisnes asing tampak kerdil berbanding negara-negara seperti Vietnam, yang tenaga buruhnya murah atau Singapura, yang tenaga kerjanya mahal tetapi berkemahiran tinggi. 

Hasilnya, proses-proses yang bernilai rendah seperti pemasangan dan pembungkusan berlokasi di Malaysia menggunakan khidmat mesin dan teknologi sederhana moden, manakala proses-proses yang bernilai lumayan seperti R&D dan inovasi tidak mampu ditawarkan kerana kurangnya dari segi kemahiran dan kepakaran. 

Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah jika Malaysia satu-satunya negara di rantau ini yang mengalami kemasukan FDI bersih yang negatif sejak 2007.
Hal ini menggagalkan Malaysia menaik taraf menjadi ekonomi perkhidmatan bernilai tinggi dan tetap terus bergantung kepada pengeluaran bahan agrikultur dan minyak. Kita hanya berjaya dalam industri ringan seperti barangan pengguna dan perkakasan elektrik. Malaysia memerlukan lebih ramai tenaga pekerja mahir serta berpendidikan tinggi untuk memperkasakan sektor perkhidmatannya.
Realiti #4: Ekonomi berteraskan kecekapan dan ekonomi berteraskan inovasi
Kajian yang dijalankan oleh Global Entrepreneurship Monitor (GEM) melabel Malaysia sebagai ekonomi yang berteraskan kecekapan, meletakkan Malaysia di belakang ekonomi-ekonomi berteraskan inovasi. 

Kita hanya mampu menambahbaik sistem dan proses yang sedia ada, tetapi ketinggalan dari segi daya inovasi yang membolehkan negara mencapai pendapatan yang jauh lebih lumayan. 

Malaysia wajar bergerak ke arah ekonomi berteraskan inovasi. Kita tidak lagi berdaya saing tinggi menawarkan tenaga buruh mahupun tanah dan kilang-kilang yang murah lagi seperti dahulu.
Kekuatan tenaga penyelidik di Malaysia bagi setiap 1 juta penduduk hanyalah 365 orang berbanding 5,416 orang di Jepun dan 4,231 di Korea Selatan. Berapa banyakkah bakat yang boleh muncul sebagai tenaga penyelidik hebat dari Malaysia tetapi malangnya tidak dapat dicungkil kerana kurang peluang melanjutkan pendidikan tinggi?
Realiti #5: Pendidikan merupakan satu pelaburan…
Seperti ibu bapa yang melabur demi kecerahan masa hadapan anak-anak mereka, kerajaan juga wajib melabur dalam masa depan modal insan rakyat Malaysia. Negara-negara maju seperti Denmark dan Norway melaburkan 7.8% dan 6.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) mereka untuk pendidikan. 

Manakala Malaysia hanya membelanjakan peruntukan sebanyak 4.1%! Majoriti daripada peratusan itu dilaburkan untuk infrastruktur dan gaji! Malah, bajet pendidikan telah dicantas daripada RM50 bilion kepada RM 37 bilion tahun ini. Bayangkan logikanya, jika Cuba (13.6%) dan Timor Leste (16.8%) sekali pun mampu membelanjakan lebih daripada Malaysia.
Kira-kira 80% daripada isi rumah dalam kelompok 40% pendapatan paling rendah di Malaysia hanya mempunyai kelulusan setinggi sijil SPM atau lebih rendah, manakala hanya 5% yang menerima pendidikan peringkat tinggi. Baki selebihnya langsung tidak pernah bersekolah. Hal ini berbeza dengan kelompok tertinggi pendapatan yang 65% berpendidikan tinggi. 

Jelaslah bahawa taraf pendidikan berkadar langsung dengan pendapatan. Peluang pendidikan tinggi yang sama rata dapat menegakkan keadilan sosial serta memberi peluang yang sama rata kepada semua terutamanya golongan miskin. Seterusnya, apabila golongan ini diberi peluang pendidikan tinggi, sekurang-kurangnya negara akan mendapat pulangannya melalui cukai pendapatan.
Realiti #6:… dengan pulangan pelaburan bersih yang positif
Jika kerajaan menanggung penuh pembiayaan pendidikan tinggi kosnya berjumlah sekitar RM60,000 (kejuruteraan) dan RM160,000 (perubatan). 94% dan 90% daripada kos-kos ini sudahpun dibiayai kerajaan kini. 

Jika graduan yang dibiayai tadi itu mula bekerja dengan gaji RM2,500 dan mendapat peningkatan sebanyak 5% setahun secara purata selama 30 tahun, graduan tersebut akan telah membayar lebih daripada RM290,000 kepada kerajaan hanya dalam bentuk cukai pendapatan. 

Jika graduan dengan prestasi minimum ini mampu membayar pulangan kepada kerajaan bayangkan graduan berprestasi tinggi dengan kadar peningkatan gaji yang lebih tinggi?
Realiti #7: Pendidikan berkadar langsung dengan kekayaan dan pendapatan
Individu yang berpendidikan tinggi secara puratanya memiliki harta bernilai RM182,000, iaitu 2.2 kali ganda berbanding individu lepasan SPM dengan RM82,000 sahaja. 

Akan tetapi, kadar kemasukan rakyat Malaysia ke dalam sistem pendidikan tinggi cuma 36.5%. 

Nombor ini bukan sahaja jauh  di belakang berbanding purata negara-negara “very high human development” iaitu 75%, malah juga di belakang negara-negara “high human development”, iaitu 50%. 

Sebagai perbandingan, kadar kemasukan di negara lain adalah; Amerika 86%, New Zealand 84%, Korea 100%, British 99%, Thailand 45%, Turki 38.4%.
Hal ini menyebabkan majoriti pekerja di Malaysia hanya mampu memenuhi keperluan sektor tenaga pekerja kurang mahir. Bagaimanakah Malaysia mampu memacu seluruh rakyatnya ke arah negara berpendapatan tinggi secara sama rata? 

Perbelanjaan dalam projek-projek mega yang menjadi shortcut sebagai satu usaha untuk melonjakkan pendapatan purata rakyat Malaysia sebelum ini bukanlah satu solusi yang mapan dan bersifat jangka panjang. 

Penyediaan pendidikan tinggi secara percuma kepada seluruh rakyat ialah satu-satunya usaha penggerak Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi secara holistik.
Realiti #8: Pendidikan solusi untuk merapatkan jurang pendapatan kaya miskin
Malaysia menduduki tempat ketiga tertinggi di Asia dari segi jurang antara golongan kaya dan miskin, mengikut ukuran GINI 0.4621 (sumber: World Bank). 

Memang zahirnya rakyat Malaysia tidak semiskin kebanyakan rakyat Indonesia ataupun India namun jurang antara kaya dan miskin kita sangat besar. 

Dengan pendapatan isi rumah RM15,000 sebulan (jumlah) sahaja sudah boleh meletakkan anda sebagai 1% terkaya di Malaysia. 75% isi rumah Malaysia berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan!
Cuba kita teliti statistik ini; 60% isi rumah berpendapatan tertinggi mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli yang menerima pendidikan tinggi manakala 60% daripada isi rumah berpendapatan paling rendah di Malaysia pula paling tinggi kelulusannya ialah SPM. 

Jurang pendapatan di antara yang kaya dan yang miskin semakin lebar sejak tahun 1970. Hanya peluang pendidikan tinggi yang adil untuk semua rakyat yang akan dapat merapatkan jurang pendapatan ini, lalu menggerakkan Malaysia menjadi satu negara yang ekonominya lebih adil.
Amerika mengganggap bahawa manfaat pendidikan tinggi adalah lebih kepada individu, maka rakyat Amerika membiayai pendidikan tinggi mereka sendiri. Warga Skandinavia pula percaya bahawa kerajaanlah yang bertanggungjawab membiayai kos pendidikan tinggi. 

Bagaimana pula situasi jurang pendapatan di negara-negara terbabit? Di Amerika, hutang pinjaman pelajar melarat sehingga sebesar US$902 bilion (sumber: Federal Reserve New York). Natijahnya, jurang kaya dan miskin Amerika juga antara yang semakin melarat di dunia. 

Negara-negara Skandinavia yang memberikan pendidikan tinggi percuma pula diletakkan pada kedudukan tertinggi di kalangan negara-negara paling sama rata di peringkat global. Justeru, hubungkait sistem pendidikan dan akibatnya terhadap jurang pendapatan kaya dan miskin sukar dinafikan.
Pendidikan percuma akan memberikan individu yang layak satu peluang untuk menaikkan taraf kehidupan mereka serta generasi seterusnya dan juga merapatkan jurang pendapatan. Jika halangan ekonomi ini tidak dibantu, nasib kelompok berpendapatan rendah ini tidak akan berubah. Mereka akan tetap dalam kepompong yang sama, dan jurang pendapatan di Malaysia akan terus melebar dengan parah.
Satu Keluarga, Satu Graduan
Malaysia memerlukan satu sistem pendidikan yang merangkumi setiap pelusuk masyarakat, bagi yang cemerlang mahupun yang lemah dalam bidang akademik. Bagi mereka yang lemah akademik, kemahiran vokasional perlu diberi penekanan yang lebih berat. 

Paling penting, sistem pendidikan itu perlu memastikan pelajar tidak menamatkan pendidikan dengan bebanan hutang di atas bahu mereka, tanpa kemahiran mahupun prospek pekerjaan, meskipun sekadar untuk membayar kembali hutang itu.
Malaysia telah menikmati banyak manfaat positif dengan menyediakan pendidikan rendah dan menengah percuma. 100% rakyat Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan sekolah rendah dan 68% berjaya tamat tingkatan lima.
Tetapi, keadaan sosio-ekonomi Malaysia dewasa ini menuntun kepada semua rakyat Malaysia diwajibkan secara undang-undang untuk sekurang-kurangnya menamatkan tingkatan lima, serta sebuah sistem pembiayaan pendidikan tinggi oleh pihak kerajaan.
Saya dengan rendah diri menyeru kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, pembuat dasar, dan kumpulan-kumpulan lobi untuk memastikan pendidikan tinggi yang percuma di semua IPTA.  Jika IPTA tidak mampu menampung bilangan pelajar yang layak, adalah dicadangkan jumlah yang sama dibiayai oleh kerajaan melalui IPTS, secara berperingkat. 

Ini bertujuan memastikan peluang pendidikan tinggi disediakan sebanyak mungkin dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Saya turut mencadangkan sasaran Satu Keluarga, Satu Graduan; iaitu setiap satu keluarga mempunyai minimum satu graduan. 

Tuntasnya sasaran ini bakal menyaksikan mobiliti antara generasi direalisasikan; di mana seorang anak nelayan, mahupun anak pekerja kilang bergaji rendah, bakal menjadi ejen pengubah yang membawa keluarganya keluar dari status ekonomi rendah kepada kehidupan yang lebih selesa. 

Mekanisme ini seterusnya dijangkakan bercambah kepada generasi-generasi berikutnya, dan memakmurkan keadaan ekonomi bagi kelompok-kelompok rakyat yang asalnya terperangkap dalam kemiskinan.
Pendidikan merupakan asas paling penting dalam memastikan kedaulatan sesebuah negara. Tiada sebarang salah tadbir atau kesalahan polisi dalam pendidikan yang mampu ditoleransi, sama ada dari sudut pelaksanaan, pengawasan mahupun perbelanjaan. 

Sebuah sistem pendidikan yang berkualiti dengan urus tadbir yang cekap bakal menjadi penentu hala tuju Malaysia. 

Sekiranya baik sistem itu, maka baiklah negara Malaysia. Hanya dengan menyediakan peluang pendidikan kepada semua, Malaysia mampu menuju ke arah negara berpendapatan tinggi yang bersifat inclusive dan untuk semua. 

Di sini marilah kita muhasabah kata-kata Nelson Mandela: “Pendidikan merupakan senjata yang paling berkuasa untuk mengubah dunia.”
** Data dan statistik diperolehi dari EPU, DOSM, HIS 2009, HDR 2011, World databank dan BNM.

Prof. Sidek Baba Di Bayar RM15,000 Sebulan Untuk Burukkan Anwar?


Prof. Sidek Baba Di Bayar RM15,000 Sebulan Untuk Burukkan Anwar?


"Ada sesuatu yang tidak kena pada integriti Anwar. Integriti sangat penting tetapi kalau tampil dengan imej yang tercalar mungkin orang luar boleh jadikan ini asas peras ugut, apatah lagi orang dalam, apa lagi rakan-rakan komponen dalam pakatan rakyat," kata pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr Sidek Baba.


"Bila saya masuk (tahanan) ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)(pada 1998) selama 16 hari saya juga didedahkan siapa Anwar sebenarnya. Tidak mudah sekelip mata saya terima," katanya.


Sidek berkata beliau meninggalkan Anwar selepas tiga tahun membuat kajian dengan menemu bual 28 individu yang rapat dengan ketua pembangkang itu, serta membuat solat sunat Istikharah bagi memohon petunjuk.

"Ada orang kata saya tidak mengenang budi. Tetapi isunya antara kebenaran dan kebatilan. Takkan kerana benda tidak benar berlaku saya harus membisu? Saya akan bertanggungjawab depan Allah nanti.

"Saya tidak tuduh dia (Anwar) liwat atau zina. Saya hanya sebut saya kaji bahawa kredibiliti Anwar tercabar. Sebab itu saya berhak untuk tidak memaksa diri saya bersama dengan dia. Itu hak saya seperti orang lain yang memihak pada dia. Berlaku adillah pada saya," katanya.

Sidek juga berkata beliau tidak berniat mengaibkan Anwar, sebaliknya hanya mengambil tindakan yang perlu bagi menghentikan kemungkaran yang berlaku.

Hmmm... bettul ke apa Sidek Baba katakan itu?

Baca apa yang ditulis oleh Hj Omar Bin Abdul Rahman dari Ipoh, Perak yang mendakwa dirinya adalah Ahli UMNO yang bersifat nasionalis bukan Islamis seperti Sidek Baba..

Sidek Baba Pejuang Islam: Orang kesayangan Anwar Ibrahim

Saya mengenali Sidek Baba sejak 1977 bila saya menjadi Mahasiswa Universiti Malaya dan Sidek menjadi AJK Minggu Orientasi-UM.

Kami panggil dia Cikgu Sidek kerana dia sudah dewasa umurnya.Dia senior saya satu tahun sahaja dari segi senioriti di universiti tetapi saya jauh lebih muda dari beliau dari segi umur kerana saya fresh dari sekolah dan terus ke universiti.

Saya mengikuti dari dekat perkembangan kerjaya Sidek. Sidek bercerita bagaimana beliau datang dari keluarga susah. Bermula bekerja sebagai budak pejabat kemudian ambil kelas malam dan lulus SPM. Kemudian ke Maktab Perguruan. Mengajar di sekolah. Kemudian ambil kelas malam. Lulus STPM dan masuk ke Universiti Malaya.

Sidek lembut orangnya. Berbicara dengan bahasa yang baik dan teratur. Beliau bergiat cergas dalam Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Diantara yang aktif waktu itu ialah Syed Darwilah, Allahyarham Datuk Nasaruddin Jalil, Dr Oniah dan ramai lagi. Saya terlibat dalam kumpulan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). Diantara yang aktif ialah Dato’ Rozai Shafian,Bekas Speaker Kedah. Juga Tan Sri Muhammad Mohd Taib Bekas Menteri Besar Selangor.

Sidek juga mengajar di Yayasan Anda, yang terletak di deretan kedai di Pantai Baru betul-betul di depan pintu masuk Universiti Malaya. Sekolah Persendirian yang ditubuhkan oleh Anwar Ibrahim,Datuk Kamaruddin Mohd Nor,Datuk Kamaruddin Jaafar bagi mambantu anak-anak Melayu yang tercicir dari arus pendidikan. Ramai anak Melayu yang miskin menuntut disini dan ramai yang berjaya dalam hidup. Datuk Zabidi Zainal Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, KPPA adalah bekas pelajar Yayasan Anda.

Semasa di universiti hubungan kami rapat walaupun agak berlainan pendapat dan ideologi politik. Dia Islamis dan saya nasionalis. Bila ada masa terluang sementara menunggu kuliah selanjutnya, Sidek akan bersyarah panjang kepada kami tentang perjuangan Islam dan Anwar Ibrahim. Bagi Sidek, Anwar adalah pemimpin yang akan memimpin umat Melayu menuju ke kemuncak dan mesti berpaksikan Islam. Setiap lima ayat yang diungkapkan oleh Sidek akan ditutup dengan menyebut perkataan “Pak Sheik” bermaksud Anwar Ibrahim. Anwar adalah idola Sidek. Saya amat meluat melihat betapa taksubnya Sidek kepada Anwar.

Anwar selalu masuk kampus dan bercerita tentang dirinya yang terpenjara di Kemunting kerana membela rakyat Baling, Kedah. Hampir setiap minggu ada saja program sebagini yang dianjurkan oleh Sidek dan PMIUM. Dimata kami Sidek adalah Anwar dan Anwar adalah Sidek.

Selepas lulus dari universiti dan menamatkan Diploma Pendidikan saya dilantik menjadi Guru Siswazah. Saya akhirnya menyertai UMNO dan aktif di Cawangan. Sebagai Pegawai Pendidikan Division Satu,saya tidak boleh aktif dihadapan jadi saya bantu dari belakang.

Hubungan saya dengan Sidek berterusan. Bila Anwar menjadi Menteri Pendidikan dan berpejabat di Bandar Baru Damansara, saya ditukarkan ke Kementerian Pendidikan sebagai Ketua Unit.

Adalah menjadi amalan Anwar setiap hari Jumaat Anwar akan berjumpa dengan orang awam,orang kampong, sahabat-sahabat beliau dan sesiapa sahaja tanpa temujanji.Anwar akan jamu tetamu makan nasi bungkus. Amalan ini berterusan hingga beliau meninggalkan Kementerian Pendidikan. Orang yang sentiasa saya jumpa dihampir setiap Jumaat ialah Sidek. Macam-macam yang dia bawa cerita dan bilik saya akan jadi tempat persinggahan beliau samaada sebelum berjumpa Anwar atau selepas jumpa Anwar.

Malah diantara tajuk yang sentiasa dibawa dalam perbincangan kami bagaimana beliau katakan beliau lebih layak menjadi EXCO jika dibandingkan dengan mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Melaka dan telah beliau nyatakan beberapa kali kepada Anwar untuk bertanding di Melaka dan menjadi Ketua Menteri Melaka.

Saya memang tidak berminat untuk mendedahkan hal keburukan Sidek pada ramai. Sebagai seorang Pegawai Kerajaan yang telah bersara, saya selesa berihat dan membaca. Tetapi akhir-akhir ini Sidek terlalu ghairah mencaci dan mencerca Anwar. Saya ahli UMNO. Saya juga bukan pengikut Anwar tetapi pembohongan Sidek yang saya anggap keterlaluan mesti dihentikan.

Sidek memang kaki bodek. Kalau bercakap amat lembut dan bahasa bersajak. Orang lain bodoh belaka dan dialah orang paling hebat. Kata-kata manis ini, bagi mereka yang kenal dia, satu penipuan.

Allahyarham Datuk Nasaruddin Jalil pernah beritahu saya bahawa Sidek setiap hari dan malam menelefon beliau untuk lobi Anwar beri biasiswa supaya dia dapat buat Masters. Akhirnya Anwar luluskan. Kemudian lobi Azmin untuk minta Anwar luluskan beliau buat Ph.D Juga dia dapat. Bagi saya itu bukan kesalahan kerana Sidek ingin memperkemaskan dirinya menjadi seorang ilmuan.

Tapi bila melobi kawan-kawan di Selangor dan minta tanah dari Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Menteri Besar Selangor, itu ada sedikit masalah. Muhammad Taib beritahu Nasaruddin dan saya yang dia telah beri tanah ‘prime land’ milik PKNS kepada Sidek tapi Sidek jual tak sampai pun setahun diluluskan. 

Sidek ambil duit taukeh Cina dan bayar premium kepada PKNS dan lebih dari separuh dia kebas kerana Muhammad Taib jual tanah PKNS kepada Sidek dengan premium yang amat murah. Saya yakin Anwar tahu hal ini. Muhammad Taib pernah menjadi Naib Presiden UMNO dan dia tahu Sidek rapat dengan Anwar.

Sidek waktu itu Timbalan Rektor berulang alik ke pejabat Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri lobi Azmin, lobi semua orang untuk jadi Rektor UIA. Sebenarnya ramai Pensyarah UIA yang lebih senior dari Sidek yang layak jadi Timbalan Rektor. Tapi kerana pressure dari Pejabat Anwar Ibrahim, Sidek dapat jawatan itu.Jawatan Timbalan Rektor. 

Saya orang UMNO saya juga tidak setuju dengan tindakan Anwar menempatkan Sidek disitu. Sidek ada Ph.D dan kajian akedemik yang beliau lakukan untuk Ph.D ialah berkenaan ‘Institusi Usrah (Study Circle) dalam ABIM. Kita tidak pertikaikan Ph.D nya tapi bidang kajian itu, terlalu cetek untuk dia menjadi Rektor UIA. Bila dia gagal ke jawatan Rektor UIA Sidek amat kecewa.

Bila Pakatan Rakyat merampas Selangor Sidek berjumpa dengan Dr Wan Azizah isteri Anwar untuk melobi ke jawatan Timbalan Naib Canselor UNISEL. Saya jumpa seorang Dekan UNISEL yang dahulunya sama Jabatan dengan saya semasa di Kementerian Pendidikan. Dia kata kami mungkin dapat ketua baru di UNISEL. Sidek Baba akan jadi Timbalan Naib Canselor jika Tuanku Sultan setuju. 

Baru-baru ini saya dapat tahu orang yang sekat Sidek dari dipertimbangkan ke jawatan itu ialah Anwar Ibrahim sendiri bukan kerana faktor umur atau lain-lain tetapi bagi Anwar, Sidek tidak cemerlang. Sidek selepas mendapat Ph.D tidak pernah menulis apa-apa ‘memorable academic paper’ dan tidak ada satu pun academic paper dalam International Journal yang beliau hasilkan.

Bila Dr Mahathir menahan Sidek dibawah ISA selama 14 hari, akibat tercetusnya gerakan reformasi, Sidek cerita segalanya kepada ASP Kamal Pegawai SB yang menyiasat beliau. Sidek mengaku yang dia bersama sekumpulan pelajar-pelajar UIA seramai 18 orang merancang bersama-sama Pemuda UMNO yang diketuai oleh Zahid Hamidi mahu menawan RTM. 

Sidek yakin rakyat akan bangkit menentang Dr Mahathir kerana ABIM mempunyai ramai anggota dan ahli UMNO yang menyokong Anwar. Sidek pecahkan semua rahsia Gerakan Reformasi kepada polis. Akibat tindakan beliau ramai yang ditahan antaranya: Roslan Kassim, Ezam Mohd Nor, Datuk Kamaruddin Jaafar, Malik Hussin, Datuk Zamri Kadir, dan ramai lagi pelajar UIA yang terlibat tetapi sempat melarikan diri termasuk Dr Yusri Mohamad dan Dr Asyraf Wajdi anak Datuk Dusuki Ahmad.







Sidek tidak ditahan lama malah tidak dibawa ke Kemunting. Beliau dibebaskan setelah bersetuju untuk bekerjasama dengan polis dan menjadi agen polis bagi melumpuhkan Gerakan Reformasi.

Bila saya berjumpa beliau sebulan selepas dibebaskan dari ISA di Hotel Legend Kuala Lumpur beliau kelihatan seperti orang yang baru keluar dari hutan belantara. Mukanya pucat dan wajahnya ketakutan. Bercakap secara berbisik dan ayat yang diungkapkan tidak jejas. Saya faham keadaanya.

Pada satu Jumaat dua bulan yang lalu saya jumpa dia sekali lagi di Masjid di Sentul. Perwatakannya tidak berubah. Bercakap secara berbisik seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

Kini baru saya faham kenapa Sidek menyerang Anwar. Kenapa Sidek fitnah Anwar. Mudah sahaja plot dan jalan ceritanya. Sidek satu masa dulu amat yakin kepada perjuangan Anwar. Sidek dapat banyak habuan dari Anwar. Tapi ada lagi yang belum cukup untuk Sidek. Sidek merasakan beliau telah banyak berkorban untuk Anwar hingga ditahan dibawah ISA. 

Bila Anwar kembali berkuasa Anwar gagal membantunya untuk menjadi orang nombor satu di UNISEL. Maknanya Anwar sudah ada penggantinya dan Sidek bukan lagi orang kesayangan Anwar.

Sidek tiada pilihan. Dia sudah berjanji malah amat takut kepada polis. Bila pilihanraya sudah hampir tiba, polis dan Dr Mahathir panggil Sidek dan tagih hutang lama. Sidek tiada pilihan dan terus menjadi kuda yang ditunggang oleh Dr Mahathir dan pemerintah. Sidek kini terperangkap. Ilmu yang dia miliki dicampakkan ke longkang. Iman yang dia ada digadai kerana takutkan manusia yang lemah seperti Dr Mahathir.

Anak buah saya kini berada dalam Kumpulan Khas yang dibentuk oleh Datuk Elias Anor Abdul, bekas Setiausaha Politik Datuk Najib Razak. Sidek adalah salah seorang anggota kumpulan ini yang dibayar gaji sebanyak RM 15,000 sebulan. Kumpulan ini merancang bagi menjatuhkan Anwar Ibrahim. Itu sahaja. 

Mereka telah kenal pasti 113 orang yang akan dikumpulkan dan digunakan sepenuhnya untuk tujuan ini. Siapa mereka? Mereka adalah kenalan, sahabat karib dan orang yang rapat dengan Anwar Ibrahim. Mereka dihimpunkan untuk hancurkan Anwar Ibrahim. Pemimpin yang mereka sanjung satu masa dahulu.

Saya bukan penyokong Anwar Ibrahim. Minat saya hanyalah kepada Sidek Baba. Manusia yang rapat dengan saya tetapi jual dirinya kerana dunia. Saya masih ahli UMNO, saya nasionalis bukan Islamis seperti Sidek Baba.

Hj Omar Bin Abdul Rahman
Ipoh Perak.
1 April 2013