Berbudikah Melayu Kepada Bahasa?
Menurut Tenas Effendy di dalam bukunya Tunjuk Ajar Melayu (2006), masyarakat Melayu mempunyai tunjuk ajar yang mengandungi nilai-nilai luhur daripada ajaran agama Islam yang sesuai dengan budaya dan norma-norma sosial yang dianuti oleh masyarakatnya.
Salah satu tunjuk ajar Melayu yang sangat penting ialah berbudi. Banyak sudah tersemat di dalam lipatan budaya orang Melayu tentang budi.
Orang Melayu diminta untuk berbudi dengan manusia yang lain. Kita sering mengaitkan berbudi dengan hubungan manusia dengan manusia yang lain. Namun jarang kita mengaitkan berbudi dengan bahasa. Ungkapan “berbudi bahasa” perlu juga dilihat di dalam konteks berbudi kepada bahasa. Orang Melayu dituntut untuk berbudi kepada bahasa Melayu iaitu bahasa ibundanya. Jika orang Melayu boleh berbudi kepada orang lain mengapa tidak juga berbudi kepada bahasanya iaitu menjaga, memelihara, menghormati, menyanjungi dan menyayangi bahasa Melayu.
Baru-baru ini Persatuan Karyawan Pulau Pinang dan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM mengadakan satu seminar Mulia Bangsa Tinggi Bahasa. Seminar ini membincangkan tentang perlunya bangsa Melayu berbudi kepada bahasanya. Bangsa yang mulia akan cinta dan hormat kepada bahasanya. Hanya bangsa korup yang menghina bahasanya sendiri. Bangsa yang kecil akan memperkecilkan bahasanya dengan alasan tidak mampu menjadi bahasa ilmu.
Bangsa Melayu, kembalilah ke pangkal jalan untuk mencintai dan menghormati bahasa sendiri. Jika kita tidak menghormati bahasa sendiri, siapa lagi akan menghormatinya. Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang dan penutur yang cukup ramai.
Perjuangan meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang tinggi dan bermartabat perlu dikuatkan dengan iltizam dan pendekatan yang kreatif dan berani oleh kita semua khususnya pejuang-pejuang bahasa. Bahasa Melayu bukan sahaja milik orang Melayu sebalik milik rakyat Malaysia dan penduduk Nusantara.
Bahasa Melayu ialah bahasa ilmu dan hal ini telah terbukti kerana ramai graduan yang lahir berasaskan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan banyak buku yang telah diterbitkan di dalam bahasa Melayu.
Seminar Kebangsaan Mulia Bangsa dan Tinggi Bahasa sememangnya mengambil semangat dua perkara iaitu bangsa dan bahasa. Apabila mulia sesuatu bangsa maka tinggilah martabat bahasanya. Mulia bangsa membawa pelbagai konotasi yang menjurus kepada persoalan budi bahasa dan keimanan. Bangsa mencerminkan bahasanya. Keperibadiannya boleh dibaca melalui bahasa yang dipakai. Sikap hormat dan sayang kepada bahasanya ada kaitannya dengan keperibadiannya. Maka menghormati bahasa khususnya bahasa sendiri merupakan sebahagian daripada bangsa yang mulia.
Penting
Pada hari ini, bahasa Inggeris mendapat tempat yang penting di dalam pelbagai posisi kehidupan kita. Keperluan untuk menguasai bahasa Inggeris sangat kuat bukan bagi membentuk identiti baru tetapi lebih kepada kemahiran untuk menguasai dan menyebarkan ilmu serta menampilkan diri di arena antarabangsa.
Bahasa Melayu mengandungi unsur-unsur seperti sejarah, sosiobudaya dan kebijaksanaan yang membentuk kekuatan tersendiri. Hal ini tidak difahami sesetengah daripada kita. Mereka melihat bahasa sebagai satu unsur yang terpisah-pisah daripada pembentukan identiti sesuatu bangsa itu. Di dalam konteks memperkasakan bahasa Inggeris, kita perlu juga memartabatkan bahasa Melayu dengan rasa tanggungjawab dan ikhlas dan bukan kerana isu-isu sensasi.
Malangnya pada hari ini, ada sesetengah daripada kita tidak lagi memartabatkan bahasa Melayu kerana banyak sebab. Antaranya apabila keperluan untuk berbahasa Inggeris maka bahasa Melayu tidak lagi perlu diutamakan. Seterusnya, tidak ada rasa cinta dan hormat kepada bahasa sendiri. Ada yang lebih dahsyat lagi, ada yang menganggap bahasa Melayu bukan bahasa ilmu. Kalau diteliti kepada sebab-sebab yang saya sebut tadi, krisis yang dilalui oleh bahasa Melayu dan sikap penuturnya khususnya orang Melayu yang sedang mengalami krisis identiti. Mereka tidak mahu melihat adanya hubungan yang erat antara bangsa dan bahasa. Bangsa yang lupa diri adalah bangsa yang lupa kepada bahasanya. Jadi, Melayu yang lupa diri dan keperibadiannya akan lupa kepada kehebatan dan kehalusan bahasanya.
Dalam Bahasa Melayu Bahasa Dunia (2005), James T. Collins menulis bahawa hari ini terdapat lebih kurang 150 juta penutur bahasa Melayu di seluruh dunia. Angka ini cukup besar dan membanggakan orang Melayu. Namun bagi saya, kuantiti tidak menjamin kelestarian bahasa Melayu. Kita perlu penutur bahasa Melayu yang kuat dengan kesedaran tentang hakikat hubungan di antara bangsa dan bahasa. Bangsa Melayu harus berbudi kepada bahasanya iaitu tahu menghormati dan menghargai bahasanya. Jika ramai penutur yang lupa hakikat ini maka kuantiti ini tidak bermakna.
Melayu yang berbudi akan sayang kepada bahasanya dan Melayu yang kurang budinya akan memperlekehkan bahasanya sendiri. Melayu harus terhutang budi kepada bangsa dan bahasanya kerana ia mewarnai dan mengisi identitinya. Namun berapa ramai yang masih menaruh budi kepada bahasanya? Melayu masih berbudi untuk kepentingan sendiri, begitu sempit pengertian budi kepada mereka ini. Kita perlu ingat ada ungkapan penting iaitu ‘budi bahasa’. Kenapa perkataan budi ini dikaitkan dengan bahasa? Bukankah ini menunjukkan betapa pentingnya budi dan bahasa. Melayu yang meminggirkan bahasanya adalah mereka yang kurang berbudi.
Berbahasa lebih daripada satu wajar diamalkan oleh pelbagai etnik yang terdapat di Malaysia. Bahasa Inggeris memang penting dan perlu dikuasai. Namun kita jangan lupa kepada bahasa Melayu yang telah berakar jauh lebih lama sebelum Inggeris menjajah kita. Bahasa Inggeris bukan sahaja bahasa komunikasi tetapi juga bahasa ilmu. Bahasa Melayu juga begitu. Maka menjadi peranan setiap daripada kita untuk berbudi kepadanya. Ini kerana jika kita berbudi maka kita juga akan merasa betapa kayanya bahasa Melayu bukan sahaja keindahan tetapi juga keupayaannya untuk membentuk dunia ilmu, dahulu, hari ini dan masa depan. Maka berbudilah kepada bahasa Melayu khususnya orang Melayu itu sendiri.
Oleh : Prof. Dr. Sohaimi Abdul Aziz