Posted on Wednesday, August 10 @ 20:12:52 PDT by paktam Oleh Ahmad Shukri Kamarudin Nun di hadapan berdiri tegak tubuh-tubuh menongkah langit dengan keris yang menjulang. Hari itu menjadi saksi sejarah perjuangan, hadiah tidak ternilai kepada sebuah pengorbanan.
Bergembiralah Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan Datuk Maharajalela. Bergembiralah Burhanuddin Al-Helmy, Abu Bakar Al-Bakir dan Onn Jaafar. Bergembiralah segenap baka yang mewarnai perjuangan itu, rebah segala resah tatkala bergema kalimah Merdeka!
Namun hari ini segalanya termaktub di dalam lembaran, hikayat dan sejarah. Bait-bait yang membentuk ceritera-ceritera perjuangan kemerdekaan berseni sebagai tinggalan usang.
Cakerawala sangat gundah semakin dingin dibawa arus kemajuan. Lantas pesta 31 Ogos seakan-akan jasad kosong yang tidak berjiwa dek kerana bayang-bayang hitam yang membenam dan membunuh roh 1957.
Anak kecil terbiar di jalanan. Pemuda, pemudi bermain dengan maruah seakan-akan mainan. Fitnah mencaci, fitnah menganiaya menjadi rutin kehidupan. Inilah fantasi rekaan barat yang diterima sebagai anutan!
Andai Tuhan menyingkap tirai kehidupan hari ini, lantas dipamerkan kepada mereka yang telah tiada, pasti sebak jiwa mereka dengan kekesalan, tersentak perasaan dengan seribu kekecewaan.
Adakah ini generasi mereka? Apa salah mereka hingga ini menjadi natijah? Atau ini sememangnya hadiah yang tidak berperikemanusiaan, atau lumrah zaman yang sememangnya kejam. Apakah ini sebenarnya refleksi sebuah kemerdekaan?
Namun harus diingat, segalanya bermula pada hari itu. Kemerdekaan yang disanjung, kemerdekaan yang ditatang dan kemerdekaan yang di perjuangkan, adakah ini semua mempunyai sebuah nilai yang tidak terhingga?
Ayuh kita nilai kembali apresiasi sebuah kemerdekaan yang kini dilihat seakan-akan sudah tidak bermaruah buat anak bangsa Malaysia. Mari kita singgap sejenak nilai kemerdekaan yang telah diperjuangkan dengan kudrat dan darah oleh bangsa terdahulu dan kini ia semakin dipandang sepi oleh anak muda pasca kemodenan.
Sejarah Kemerdekaan Menyembunyikan Tokoh-Tokoh Tertentu
Tidak dinafikan di dalam lembaran-lembaran dan hikayat sejarah perjuangan dan kemerdekaan negara, ia pernah dibasahi dengan darah dan keringat pejuang-pejuang terdahulu.
Namun begitu malang sekali apabila terdapat beberapa batang tubuh tokoh perjuangan kemerdekaan yang cuba untuk disembunyikan daripada tatapan dan pandangan masyarakat umum.
Pasca tahun 1945 hingga tahun 1948, ketika pertembungan sengit antara bangsa Melayu dan pihak British, ada sosok tubuh tokoh-tokoh tertentu yang begitu hebat memerah kudrat bagi meraih kemerdekaan Tanah Melayu.
Namun di mana letaknya nama-nama mereka di dalam lembaran-lembaran dan teks-teks sejarah negara di peringkat sekolah menengah mahupun di peringkat universiti. Di mana letaknya nama-nama tokoh kemerdekaan Dr Burhanuddin Al-Helmy, Abu Bakar Al-Bakir, Ahmad Boestaman, Ishak Muhammad, Ibrahim Yakob mahupun Shamsiah Fakeh di dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu?
Mungkin ada nama-nama mereka yang diselitkan di dalam lembaran sejarah kemerdekaan negara namun apakah cerita yang disampaikan mengenai mereka? Adakah hak-hak mereka telah diadili dengan sebenarnya di dalam ceritera sejarah negara kita?
Hinggakan adik-adik di peringkat sekolah menengah, bahkan anak muda-anak muda di peringkat universiti tidak mengenali siapakah tokoh kemerdekaan Burhanuddin, Abu Bakar mahupun Ahmad Boestaman.
Apabila disebutkan nama tokoh-tokoh kemerdekaan ini, jiwa generasi muda kita tidak tersentuh, hati mereka tidak mengetahui nilai sebenar pengorbanan yang telah diperjuangkan oleh tokoh-tokoh tersebut.
Mungkin juga nama-nama mereka cuba disembunyikan daripada tatapan umum kerana mereka bukanlah se-bahtera dengan mereka yang kononnya sebagai pemencak utama di dalam lapangan kemerdekaan. Ataupun nama mereka cuba disembunyikan kerana ada cerita sebenar mengenai kemerdekaan negara kita yang cuba dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.
Jika benar kemerdekaan negara kita ini suci, jika benar kemerdekan negara kita ini bermaruah, jika benar kemerdekaan negara kita ini bernilai, mengapa perlu ada tokoh-tokoh yang cuba disembunyikan daripada tatapan masyarakat umum ?
Sejarah Kemerdekaan Mencemarkan Bangsa Melayu
Persepsi ini mudah. Ayuh kita buka dan lihat lembaran-lembaran sejarah kemerdekaan, teks-teks sejarah di peringkat sekolah menengah, video-video kemerdekaan dan kita lihat berapa ramai bangsa Melayu yang memenuhi stadium-stadium, yang membanjiri padang-padang, yang mendengar di corong-corong radio sambil mendengar dan menyambut laungan Merdeka dan kita lihat siapa yang berada di atas pentas pengisytiharan kemerdekaan.
Mengapa masih ada seorang bangsa yang berkulit putih, yang bertopi putih duduk di atas pentas kemerdekaan sambil memerhatikan Tunku Abdul Rahman melaungkan kalimah keramat Merdeka dari belakang dan melihat bangsa Melayu yang duduk di bawah. Cukup simbolik!
Adakah benar negara kita sudah merdeka? Jika benar negara kita sudah merdeka, halau sahaja si kulit putih itu dari atas pentas kemerdekaan. Namun ia tidak berlaku. Si kulit putih itu tetap berada di atas pentas kemerdekaan, gambar-gambar dan hikayatnya telah tercatat di dalam lembaran sejarah negara kita dan 20 tahun akan datang, 30 tahun akan datang si kulit putih itu akan tetap akan berada di dalam sejarah kemerdekaan negara kita.
Cukup ironis. Persoalannya, di mana nilai sebenar kemerdekaan negara kita?
Kemerdekaan Menjatuhkan Maruah Pejuang Terdahulu
Kita sering kali mendengar nama-nama tokoh pejuang terdahulu seperti Bendahara Paduka Raja, Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Datuk Maharajalela dan Datuk Bahaman yang sering menggunakan kalimah, "akan mempertahankan tanah ini hingga titisan darah yang terakhir".
Biar dada tembus dengan tombak penjajah, biar badan dihujani peluru musuh, tanah ini akan tetap dipertahankan walau cuma seinci. Begitu suci dan mulia perjuangan dan pengorbanan mereka.
Namun tahun telah beralih, zaman juga sudah semakin maju hinggalah ke pasca tahun 1957. Jiwa perjuangan telah banyak berubah. Toleransi demi toleransi, diplomasi demi diplomasi telah banyak mewarnai kancah perjuangan kemerdekaan pada ketika itu hingga generasi muda seakan-akan alpa apa sebenar erti sebuah perjuangan. Namun hakikatnya, toleransi yang di garap telah melampaui batas-batas perjuangan.
Mereka bertoleransi dengan golongan yang dahulunya telah membunuh pejuang-pejuang yang lampau. Mereka bertoleransi dengan golongan yang dahulunya telah menghalau pejuang-pejuang terdahulu.
Lalu kemerdekaan diterima dengan cara yang amat mudah daripada tangan-tangan kotor tersebut. Inilah potret perjuangan 1957.
Juga persoalan ingin diungkapkan. Apa nilai sebenar kemerdekaan negara kita?
Signifikan Kemerdekaan Yang Memalukan Negara
Usah bicara soal kebebasan, usah bicara soal demokrasi, usah bicara soal hak-hak individu, usah bicara soal keadilan, usah bicara soal autonomi universiti, usah bicara soal kebebasan akademik jika kemerdekaan yang kita perjuang dan pertahankan selama ini tidak melambangkan erti sebenar sebuah kemerdekaan.
Kemerdekaan sendiri telah menutup ruang kebebasan, kemerdekaan sendiri telah memalukan bangsa Melayu dan kemerdekaan sendiri telah mencemarkan nilainya. Jangan diharap bulan jatuh ke riba, selagi adanya satu 'bayang-bayang" yang telah mengotori sistem negara ini tidak kita musnahkan, selagi itu kemerdekaan hanya akan tinggal sebagai kemerdekaan!
Buat para anak muda Malaysia, segala yang diungkapkan di dalam hikayat ini bukanlah antipati sebenar sebuah kemerdekaan negara kita namun ia hanyalah satu garapan idea dari sisi pandang yang sedikit berbeza yang seharusnya kita kupas bersama dan kita sebagai anak muda semestinya harus memikirkan apa yang seharusnya kita lakukan demi menjamin eksistensi perjuangan dan pengorbanan bagi meneruskan nafas sebuah kemerdekaan. |