SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) bercadang untuk menjadikan kursus pilihan, Jawi dan Kaligrafi sebagai sebahagian daripada sukatan bagi kursus Pendidikan Asas Islam (CTU 101) peringkat diploma.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said berkata, unit ko-kurikulum UiTM kini dalam proses bagi menawarkan Jawi dan Kaligrafi tersebut sebagai kiraan dua jam kredit kepada pelajar universiti berkenaan.
Ia kerana, katanya beliau, tulisan Jawi melambangkan orang Melayu dan ia wajar dihidupkan semula di UiTM kerana universiti itu mempunyai pelajar Melayu yang paling ramai di negara ini.
“Tulisan Jawi dekat dengan orang Melayu dan sebagai universiti yang ramai pelajar Melayu wajar dihidupkan kembali tulisan Jawi ini. Biarpun tidak fasih tulis dan membaca Jawi tetapi sekurang-kurangnya usaha ini mendedahkan pelajar terhadap tulisan Jawi,” katanya pada Program Penulisan Jawi Paling Ramai di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM di sini semalam.
Abdullah berkata, Program Penulisan Jawi Paling Ramai tersebut bertujuan memperkasa dan memberi kesedaran kepada pelajar UiTM tentang kepentingan pendidikan Jawi di negara ini.
Menurutnya, UiTM juga bercadang memperbanyakkan papan tanda dalam tulisan Jawi di dalam UiTM bagi memperkuatkan lagi usaha mengetengahkan tulisan itu kepada masyarakat universiti berkenaan.
Seramai 4,000 pelajar dan kakitangan UiTM menulis tiga perkara iaitu Wasiat Raja-Raja Melayu, Perkara 152, 153, 3 dan 38 Perlembagaan Persekutuan dalam tulisan Jawi pada program berkenaan.
No comments:
Post a Comment