Gua Merayu... Sokonglah Umno..!!!!
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Minggu lalu DAP telah mengadakan Persidangan Kebangsaannya di Shah Alam, Selangor. Saya tidak berminat mengulas apa yang mereka bisingkan. Cumanya, saya ingin berkongsi rasa sedih dan pilu apabila saya melihat bumi Selangor yang suatu ketika dahulu adalah bumi parti kita tetapi kini DAP bersama Pakatan Rakyat telah berjaya mengadakan kongres mereka dengan begitu megah sekali.
Saya menangis siang dan malam mengenang nasib parti saya yang telah kalah di Selangor. Air mata ini tumpah kerana tidak sanggup untuk melihat manusia seperti Lim Guan Eng, Karpal Singh, Lim Kit Siang dan konco-konco mereka menginjak-injak gembira atas kebebasan berhimpun di bumi Selangor.
Jika parti saya tidak korup di Selangor, pasti muka-muka DAP ini tidak akan dapat menjejakkan kaki mereka di bumi parti kita ini. Jika bekas MB Selangor tidak bermain politik penyapu, tidak bina mahligai besar, pasti habis Pakatan Rakyat kami sapu. Tapi apakan daya, nasi telah menjadi bubur nasi.
Bahasa Malaysia
Perisik-perisik saya telah memberitahu bahawa persidangan DAP kali ini, ramai perwakilan yang datang dari seluruh negara dan pelbagai kaum. Dalam ucapan perbahasan itu, saya diberitahu bahawa sudah mula ramai pembahas yang berucap dalam Bahasa Malaysia.
Saya diberitahu bahawa sebelum era tsunami 2008, kongres DAP ini semuanya berbahasa Inggeris dan Cina. Sikit-sikit saja berbahasa Malaysia. Tetapi kini telah berubah.
Pada saya ini perkembangan yang sangat berbahaya kerana orang-orang DAP ini sudah mula pandai menguasai Bahasa Malaysia. Jika mereka pandai berbahasa Malaysia, ramai orang Melayu akan tertarik dengan parti ini. Ini pula bencana bagi parti kita.
Jika orang-orang DAP pandai berbahasa Malaysia, pastilah orang Melayu akan mudah faham tentang perjuangan DAP. Jika mereka sudah faham, pastilah pula mereka akan sedar bahawa DAP ini parti yangdemokrat, adil dan bersih.
Sudah tentu perjuangan parti saya tidak akan releven lagi. Al-maklumlah, parti saya ini hanya untuk kaum Melayu, begitu juga dengan kawan-kawan kita MCA dan MIC, masing-masing untuk Cina dan India sahaja.
Generasi muda
Perisik-perisik saya juga ada melaporkan bahawa pada persidangan DAP itu kelihatan semakin ramai orangMelayu khususnya orang muda telah hadir sebagai penyokong dan pemerhati. Pada hemat saya, ini juga satu perkembangan yang bahaya.
Mengapa saya katakan bahaya?
Kerana, jika ramai orang muda Melayu yang menyokong atau masuk DAP, pastilah parti saya akan semakin pupus pemimpin pelapis di masa hadapan. Ini pasti akan merosakkan rancangan kita untuk melakukan transformasi parti. Nak harap ketua pemuda kita yang ada sekarang ini, susahlah, asyik main futsal dan tweetting saja.
Saya pelik melihat gelagat anak-anak muda Melayu ini. Kita dah bagi macam-macam. Dah bagi kebebasan berhimpun, dah bagi tahu akan pinda AUKU, sekarang ini kita juga dah bagi baucer bantuan untuk membeli buku berharga RM200. Tetapi hingga kini, budak-budak ini masih lagi berdegil tidak mahu menyokong parti kita.
Apa lagi yang mereka mahu? Duit dah bagi, kebebasan kita bagi, sekarang mereka nak apa lagi? Apa istimewa sangat parti DAP itu? Kan lebih baik sokong dan masuk parti saya, senang nak dapat biasiswa belajar macam si Saiful Bukhari tu, contoh dah ada depan mata, tapi masih keras kepala.
Budak-budak macam Adam Adli tu, apa dia tahu tentang kebebasan akademik? Dia hanya tahu turunkan bendera muka pemimpin saya sahaja. Memanglah itu bukan bendera Malaysia atau bendera negeri. Tapi mana kita boleh biarkan bendera pemimpin besar kita dipermainkan. Ha, sekarang dah kena gantung belajar, padan muka.
Err..... bukan parti kita tak mahu kebebasan pelajar tapi cukuplah kebebasan yang kita tentukan. Pelajar tidak ada hak nak tentukan kebebasan sendiri.
Bukti transformasi
Ingatlah bahawa saya akan terus berjuang demi keadilan, transformasi yang sedang parti kita lakukan ini pasti akan berjaya dengan syarat anda terus mengundi saya dan parti saya.
Contoh paling nyata adalah kes Lelaki X yang telah dibebaskan oleh mahkamah. Memanglah saya marah kerana hakim berani tunjuk pandai dengan mendaulatkan undang-undang. Sepatutnya hakim kena ikut cakap parti. Kalau bukan kerana parti kita, tak kan hakim tu dapat jadi hakim.
Tapi nasi sudah menjadi bubur. Oleh kerana hakim sudah membuat keputusan, kita pun terpaksa terima.Tentulah saya kena kata ia adalah bukti transformasi. Kalau tidak mana nak letak muka kita?
Apa pun media massa masih kita punya. Apa yang media massa tulis dan siar, itulah yang rakyat akan percaya. Tuan-tuan dan puan-puan pun mestilah percaya kerana masa depan anda bergantung kepada pemerintahan parti kita.
Transformasi Rakyat PRU-13.
Apa deklarasi?
Berbalik kepada persidangan DAP itu tadi, perisik-perisik saya memberitahu bahawa DAP telah mengumumkan Deklarasi Shah Alam yang ada sebut tentang solidariti ekonomi iaitu:
Perlaksanaan gaji minimum
Menghubungkan terus kadar kenaikan gaji minima dengan kadar inflasi
Memupuk penyertaan tenaga kerja wanita
Mengurangkan pergantungan kepada buruh asing
Melonjakkan ekonomi melalui teknologi dan automasi
Membanteras korupsi, rasuah dan ketirisan memalui pentadbiran berteraskan prinsip CAT ( cekap, akauntabel dan telus)
Meluhurkan undang-undang
Mempertahankan hak-hak sah pekerja
Memanglah semua itu baik tapi kalau dilaksanakan, hancurlah parti kita. Mana ada peluang untuk ketua-ketua bahagian dan kroni-kroni kita nak cari makan kalau semuanya cekap, akauntabel dan telus?
Memang kita tahu ramai kontraktor Melayu yang cekap dan berkelayakan. Tapi mereka bukan ahli parti kita. Seperti yang terjadi di Pulau Pinang, ramai kontraktor kita tak dapat projek kerana tak cukup kelayakan. Walau pun Melayu yang layak dapat projek, ini tidak adil kerana kontraktor-kontraktor parti kita yang kurang cekap tidak mendapat apa-apa.
Saya nak terangkan bahawa soal nak membanteras korupsi ini bukanlah satu kerja yang mudah. Rasuah di kalangan pemimpin parti kita sudah menjadi budaya. Kalau tak ada rasuah, susahlah nak menang. Nasib baik kita kawal media massa.
Jadi bolehlah kita gunakan istilah “politik wang” untuk menggambarkan rasuah. Kalau tidak malulah kita kerana orang Melayu di kampung akan tahu kita bergelumang dengan rasuah.
Transformasi yang pemimpin kita nak buat itu memang bagus. Tapi kalau nak ubah sesuatu yang sudah menjadi budaya macam parti saya ini, kenalah ambil masa. Lainlah DAP yang sudah lama mengamalkan budaya cekap, akauntabel dan telus.
Jadi, jangan pedulikan deklarasi DAP. Jangan pedulikan itu semua. Yang penting, terus sokong parti kita. Bila kita kekal berkuasa, yang mendapat pangkat, kedudukan dan projek adalah pemimpin kita juga.
Apa salahnya orang Melayu tumpang gembira dengan kejayaan para pemimpin kita. Atau adakah orang Melayu rela gadaikan maruah bangsa yang parti kita perjuangkan demi mewujudkan kerajaan bersih, cekap dan telus yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat?
Sanggupkah kita melihat orang Melayu maju tetapi para pemimpin parti kita hidup merempat? Sanggupkah kita melihat anak-anak Melayu mampu bersaing dengan kaum lain sedangkan para pemimpin parti kita tidak ada peluang lagi untuk mendapatkan projek-projek besar?
Sanggupkah wahai Melayu-Melayu sekalian...???
Kategori: Satira/cerpen
Tajuk: Jangan pedulikan deklarasi DAP
Oleh: Daing Yahya
No comments:
Post a Comment