ROMPAKAN BN UMNO

ROMPAKAN BN UMNO

CLICK at HOME..if it said this blog not exist.

Thursday, 2 February 2012

Antara tersurat dan tersirat mohon jual unit bumiputera


REHDA : Antara Tersurat Dan Tersirat

Antara tersurat dan tersirat mohon jual unit bumiputera 
PERSATUAN Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) merupakan sebuah persatuan yang dianggotai oleh para pemaju hartanah dan perumahan dewasa ini nampaknya sudah menunjukkan taring sebenar apabila mula menjadi badan pendesak kepada kerajaan supaya 'menghapuskan keistimewaan bumiputera'.

Yang dikatakan memohon untuk kerajaan melaksanakan secara automatik kelulusan bagi menjual unit khas peruntukan bagi bumiputera pada setiap projek yang dilaksanakan oleh ahli mereka sebenarnya seperti meminta kerajaan tidak lagi mensyaratkan peruntukan itu dikuatkuasakan.

Inilah sebenarnya hasrat REHDA secara simbolik dan sinis menyimpul bahawa bumiputera tidak mampu memiliki hartanah meskipun hanya sekadar 30 peratus di dalam projek yang dibangunkan oleh mereka.

Walhal, pernahkah kerajaan mengambil langkah serius secara teratur menubuhkan pasukan petugas khas atau auditan bagi membuktikan kebenaran pernyataan persatuan berkenaan sama ada berasas atau tidak.

Kerana, wujud rungutan daripada pelbagai pihak bahawa di kebanyakan kawasan yang berpotensi unit bumiputera sebenarnya yang kononnya sudah habis dijual berlaku sebaliknya dan sengaja disorok, kemudian diisytiharkan tidak ada pembeli demi memaksimumkan untung dan pada masa yang sama mensabotaj agenda kerajaan.

Meskipun bersembunyi melalui kenyataan muluk bahawa permintaan itu adalah demi memudahkan ahli persatuan tetapi sebenarnya umpama gunting dalam lipatan. Diharapkan pihak berkuasa melihat perkara ini secara telus, jujur dan benar-benar serius.

Kerana sudah cukuplah hak bumiputera dipermainkan dan dikorbankan demi kepentingan pihak-pihak tertentu di mana akhirnya kaum ini kelak akan membuat tanggapan bahawa kerajaan tidak lagi perlukan sokongan mereka dan sudah cukuplah sokongan kaum-kaum lain dalam pilihan raya akan datang.

Lihatlah dan buka mata seluasnya terutama para pemimpin kerajaan, ahli politik dan pegawai tadbir kanan yang rata-ratanya adalah bumiputra sendiri. Kerana seolah-olah semuanya wujud tanpa sebarang agenda dan gagal memperjuangkan kepentingan bangsa. Malah seolah-olah takut di label sebagai rasis dan sebagainya. Walhal, kaum lain sudah lama melaung pelbagai permintaan demi survival mereka dan tidak pula dituduh sedemikian?

Para pemimpin politik tidakkah mereka sedar sebenarnya yang meletakkan mereka di kerusi empuk yang sedang mereka duduki kini itu hasil daripada undian siapa? Adakah undian dari mereka yang sedang mensabotaj agenda nasional masa kini?

Para pentadbir kanan kerajaan, apakah bangsa sendiri tidak bijak atau tidak mampu atau tidak mengerti bagaimana berniaga sehinggakan mereka terasa kekok untuk berurusan dengan usahawan sebangsa?

Selagi semua masih melihat isu-isu seperti yang ditimbulkan oleh REHDA ini seolah-olah isu terpencil, sebenarnya anda semua tersilap. Kerana ini semua adalah sebenarnya agenda besar yang sudah tersusun sekian lama. Baik dari isu murtad, isu sekolah wawasan, Hindraf, Bersih dan sebagainya adalah sebuah manifestasi nyata daripada bingkai besar yang sudah matang dan hanya menunggu masa.

Kerana itu, pastikan bahawa rungutan REHDA itu perlu diberi perhatian. Tentu ada yang tidak kena di mana-mana. Lihat sendiri jentera pelaksana sama ada mereka telah membuat kerja atau masih lena diulit mimpi.

Meskipun Suruhanjaya Perumahan Negara, Syarikat Perumahan Negara dan pelbagai institusi ditubuhkan kerajaan, tetapi sekadar gah pada nama dan asyik berbelanja dan berseminar tidak tentu hala, apa guna?

Tunjukkan komitmen melalui agenda yang lebih mantap dan tindakan yang lebih agresif dengan membeli unit bumiputera berkaitan seperti yang pernah dijanji dan diuar-uarkan sebelum ini.

Agaknya ke mana perginya UDA atau pelbagai agensi negara yang lain. Tidakkah boleh mereka semua menyingsing lengan dan duduk semeja mencanai wacana supaya mampu bertindak secara berintegrasi agar pepatah - yang ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul itu boleh dipraktis dan dijadikan realiti.

Apakah tidak ada koperasi yang besar-besar boleh menjadi penjana dana bagi melaksanakan agenda besar bumiputera supaya tidak menjadi kera sumbang dalam mengejar pembangunan.

Kepada para pengurus dana bertaraf mega dalam negara ini, tidak perlu mendabik dada menunjukkan angka besar yang diurus tetapi pada masa yang sama semua harta benda milik kita tergadai kepada orang lain.

Sedarlah, bahawa dalam asyik kita bercakaran orang lain sedang menangguk di air keruh. Kelak anak cucu di kemudian hari hanya membaca sejarah seperti mana di negara seberang tambak sana.

Renung dan buka minda dan jangan turut nafsu semata-mata. Kerana nafsu yang besar hanya akan menenggelamkan minda yang hebat. Ego yang tinggi kelak akan meruntuhkan peradaban yang agung. 
  
Oleh : Dr. Ahmad Zaki Ismail

No comments:

Post a Comment