SAYA selalu membaca dan mengamati tulisan, komentar dan analisa politik terkini tentang negara kita ini. Saya membaca dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Ada yang menarik: sayangnya banyak pula yang membosankan. Membosankan kerana sang penulis hanya bergelut dengan personaliti individu – si politikus. Tidak lebih dari itu.
Politik bukan hanya tentang individu. Politik ialah tentang kuasa. Perjuangan politik ialah perjuangan untuk merebut kuasa. Merebut kuasa bertujuan untuk merebut punca-punca ekonomi. Di belakang punca ekonomi ialah kelas. Perjuangan politik ialah perjuangan kelas.
Kelas dan ekonomi tidak dapat dipisah macam santan dengan kelapa. Setiap sosok manusia tergolong ke dalam satu kelas. Secara kasar – ada dua kelas: yang memerintah dan yang diperintah i.e yang berkuasa dan yang tidak berkuasa. Yang berkuasa ialah mereka yang memiliki harta dan kekayaan. Yang tidak berkuasa ialah mereka yang tidak memiliki harta kekayaan dan golongan miskin.
Dalam sistem ekonomi kapitalis seperti dalam negara kita ini – golongan miskin adalah kaum tani, kaum nelayan dan kaum buruh. Mereka ini adalah kumpulan terbanyak. Kumpulan terkaya tidak ramai. Kumpulan kaya amat sedikit – mereka adalah kumpulan minoriti. Tetapi mereka menjadi pemilik harta kekayaan yang terbanyak. Justeru melalui harta kekayan, mereka dapat membeli kuasa.
Ini bukan tulisan propaganda. Ini hakikat – fakta saheh – yang boleh dirujuk kepada Jabatan Statistik Negara. Fakta-fakta – ekonomi dan kelas ini – menjadi kabur atau sengaja dikaburkan dengan agenda agama, dengan agenda bahasa, dengan agenda kaum dan bangsa. Politik ialah agenda merebut kuasa. Period. Khalas. Agenda-agenda yang lain hanya alat dan taktik untuk mengolah persetujuan orang ramai untuk bangun merebut kuasa.
Justeru untuk saya, perjuangan politik ialah untuk melupuskan kuasa kumpulan kaya yang sedikit dan mengambil alih punca-punca ekonomi yang ada dalam tangan mereka. Harta kekayaan wajib diambil kembali untuk di agih-agihkan kepada rakyat terbanyak. Ini seperti yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan Selangor. Kerajaan Pakatan Rakyat telah mengambil kembali hak air dari syarikat Syabas dan memberikan secara percuma pada orang ramai.
Justeru berlaku perlawanan yang maha hebat antara Pakatan Rakyat dengan gerombolan United Malays National Organisation di Selangor. Perlawanan ini ialah perlawanan untuk merebut punca ekonomi. Ini adalah perlawanan dua kelas – kelas kaya yang menindas sedang berlawan dengan rakyat. Suara orang teramai diwakili oleh Pakatan Rakyat.
Hingga ke tahap ini, jika masih ada penulis dan pemberi komentar politik tidak memahami hakikat kelas dan ekonomi, maka si Mamat atau si Minah itu wajib rajin membaca dan mentelaah. Panjangkan akal dan panjangkan ilmu. Sehingga ke hari ini, memiliki akal fikrah yang kritikal masih belum dicukai lagi.
Kalau saya membawa para pembaca ke luar Malaysia – hakikat yang sama juga dapat kita lihat. Di Amerika Syarikat, Barack Obama dipilih untuk mempertahankan dan menjaga kepentingan saudagar senjata dan para taikon di Wall Street. Raja Abdulah dipilih untuk mempertahankan kepentingan golongan feudal di Saudi Arabia. Sarkozy di Peranchis dipilih untuk mempertahankan kepentingan saudagar Peranchis dan kaum Zionis di Peranchis.
Apabila tuan pembaca telah memahami asas-asas politik dan ekonomi di atas, maka saya akan membawa pembaca untuk memahami apa makna dan tanda perebutan puncuk pimpinan PAS yang sedang berjalan hebat sekarang. Perlawanan hebat yang saya maksudkan ialah perebutan kerusi Timbalan Presiden PAS di antara Mat Sabu dengan Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man.
Untuk saya, perlawanan ini adalah perebutan kuasa. Perebutan kuasa ini ialah perjuangan kelas. Kalau kita kaji dari segi politikal ekonomi, dalam istilah politik moden Parti Pas ini ialah parti yang mewakili kepentingan borjuis kecil Melayu. Parti yang mewakili kepentingan borjuis besar dan borjuis nasional ialah United Malay National Organisation. Justeru, saya berani berkata di sini bahawa tidak mungkin Daim, Ananda, Vincent Tan atau Syed Mokhtar menjadi ahli PAS. Parti PAS tidak akan memperluaskan kepentingan ekonomi mereka.
PAS mewakili Guru-guru Melayu, Tok Peraih, Penjaja, Tuan Empunya Warong, Kontrektor Kelas Bawah, Peneroka, Nelayan termasuk juga Askar dan Polis Pencen. Golongan ini merasa kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka dapat dipertahankan oleh parti PAS.
Kalau PAS ini parti bojuis kecil Melayu bagaimana pula dengan ulama dalam PAS? Biar saya terangkan di sini bahawa dari segi ekonomi, para alim ulama juga memiliki kelas. Dari segi pensejarahan penubuhan parti politik di Malaysia kita akan dapat memahami bahawa alim ulama dalam PAS ini tergolongan kepada borjuis kecil Melayu. Mereka merasa diri mereka akan dipinggirkan oleh United Malays Natioanal Organisation yang amat mesra bersekongkol dengan Towkay dari MCA atau bekas penjajah British. Hujah agama ketika keluar dari payung United Malays National Organisation pada ketika itu adalah hujah terbaik untuk mempertahankan kepentingan ekonomi kelas borjuis kecil Melayu.
Justeru, apakah Mat Sabu dan Nasaruddin ini memiliki pandangan politik dan kelas yang sama kerana mereka berdua berpayung dalam Parti PAS? Jawabnya tidak. Parti MCA adalah parti towkay tetapi ramai juga buruh yang menjadi ahli ini. Parti MIC ialah parti Chetiar dan Mandur tetapi kuli estate yang menjadi ahli.
Awas dan waspada. Di dalam kumpulan borjuis kecil ini juga akan terdapat sosok-sosok yang berminat untuk menjadi borjuis besar dan borjuis nasional. Di dalam KEADILAN juga pasti ada yang bermimpi untuk menjadi borjuis nasional. Bermimpi untuk menjadi tuan pemilik kuasa jana leterik atau pemilik kilang gula dan beras. Ini bukan sesuatu yang mustahil.
Di tahap ini dalam politik negara kita apa yang wajib kita kenali ialah kepentingan kelas apa yang di wakili oleh Mat Sabu. Kepentingan kelas siapa pula yang diteraju oleh Nasharudin. Seperti saya tulis di atas tadi – perjuangan politik ialah perjuangan kelas. Untuk saya, mustahil kedua-dua mereka ini mewakili kelas yang sama. Jika mereka dari kepentingan kelas yang sama mustahil mereka akan bertempur.
Nasharudin dikatakan dari jalur ulama. Tetapi dalam analisa politikal ekonomi, ulama ini tidak memiliki apa apa makna. Ini hanyalah ‘tagline’ untuk menjual produk. Ulama hanya jenama yang dikenali umum. Majoriti ahli Pas adalah orang warak yang ritual agama Islamnya terjaga rapi. Untuk para ritualis ini jenama ulama ini cukup meyakinkan. Justeru dengan bijak Nasharuddin telah melabelkan dirinya ulama. Jenama ini amat baik untuk meraih sokongan dalam Parti PAS.
Dalam pemahamam politik cetek dan dalam pemahaman borjuis kecil Melayu, memang Mat Sabu ini dianggap bukan ulama. Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan Mat Sabu ini seorang ulama.
Dalam analisa ini bukan jenama ulama yang kita bincangkan tetapi si ulama atau yang bukan ulama itu mewakili kelas yang mana? Ini soalan yang wajib kita terus bertanya apabila kita membaca politik. Jika kita dapat memecah persoalan kelas maka kita akan dapat memahami pertembungan politik yang sedang berlaku dihadapan mata kita.
Akhbar Utusan Malaysia yang dianggap suara musuh oleh Pas dan Pakatan Rakyat. Kebelakangan ini – sebelum muktamar Pas berlangsung – akhbar ini tetiba menyatakan rasa gumbira dan senang jika kumpulan ulama dalam Pas ini mencapai kemenangan. Malah sekali imbas kita lihat Mubarak – kumpulan Umno Pencen – tetiba berkempen untuk Nasarudin. Jelas suara United Malay National Organisation ini mahu tim’ulama’ terus berkuasa.
Beberapa tulisan dalam akhbar Utusan semuanya memperlihatkan bahawa United Malays National Organisation merasa takut jika sekiranya Mat Sabu berjaya mengalahkan Nasaruddin dan Tuan Ibrahim. Utusan kelihatan berhempas pulas menabur racun bekempen agar ahli Pas akan mengenepikan Mat Sabu
Lalu timbul persoalan? Kenapa Utusan sibuk mahu Mat Sabu kalah? Jawapan untuk soalan ini ialah kelas. Dalam pemahaman politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas Mustadhafin atau kelas tertindas. Dalam bahasa politik moden Mat Sabu ini mewakili kelas kaum proletar – kaum buruh dan kaum tani – kaum majoriti yang tertindas.
Nasharudin Mat Isa walau pun dalam Parti PAS tetapi memiliki niat dan mimpi untuk menjadi borjuis besar – borjuis nasional. Cita-cita untuk menjadi borjuis nasional ini hanya akan termakbul jika sekiranya Pas dan United Malay National Organisation dapat bersatu dan bekerjasamadan satu perserikatan yang baru. Penyatuan ini dibawah lambang Perpaduan Melayu.
Justeru pertembungan Mat Sabu, Nasa dan Tuan Ibrahim ini memiliki implaksi yang amat jauh merentas markas tarbiah Pas di Gombak. Kemenagan Mat Sabu akan membuka satu garis baru didalam Pas. Garis ini ialah garis memperjuangan gulungan tertindas. Jangan lupa Mat Sabu ini pernah menimbulkan isu Padi Kunca di Kedah dimana tuan tuan pemilik tanah sawah yang luas merasa tergugat.
Tuan-tuan tanah ini ada yang menyokong PAS. Lalu mereka merasa marah kerana kain sarong topeng agama mereka telah diselak terbuka oleh Mat Sabu. Manakala Nasarudin tidak memiliki apa-apa budaya politik melawan. Begitu juga Tuan Ibrahim yang mencelah bertanding untuk memastikan garis musthadafin yang dibawa oleh Mat Sabu dikuburkan.
Dari sini amat jelas menunjukkan bahawa kepentingan kelas melintasi kepentingan parti politik. United Malay National Organisation yang melaungkan ketuanan Melayu pun akan sedia berkerjasama dengan para cukong dari MCA atau MIC untuk kepentingan kelas mereka.
Begitu juga adanya sosok-sosok dalam PAS yang bersedia berkerjasama dengan United Malays National Organisation untuk memastikan – InsyaAllah – mimpi mereka untuk menjadi borjuis nasional termakbul. Juga memastikan kepentingan ekonomi mereka dipertahankan dan dikembangkan. Jangan pula hairan jika saya katakan hari ini sosok-sosok jemis Nasa ini juga ada dalam KEADILAN dan DAP. Cuma ketika ini suasana politik tanah air kita belum memberanikan mereka menunjukkan muka.
Jelas di sini United Malay National Organisation mahu garis Mat Sabu dikalahkan. Tetapi semuanya terpulang kepada ahli PAS sendiri. Mereka yang membuat keputusan untuk memilih di antara dua garis politik ini. Politik kuasa orang kaya disatu pihak dan politik kaum buruh dan kaum tertindas di satu pihak lagi.
No comments:
Post a Comment