DETIK DAILY
DATO' Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri tidak 'cocok' menggunakan frasa `senjata' di hadapan rakyat untuk merampas Selangor. Ikuti pandangan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Exco Kanan kerajaan negeri, DATO' DR HASAN MOHD ALI ketika diwawancara wartawan SAIDAH HAIRAN, di Tingkat 2, bangunan SUK, Shah Alam baru-baru ini.
HARAKAH: Dato', bagaimana politik orang Melayu di Selangor, bolehkah membuat perubahan setelah dipimpin oleh Pakatan Rakyat?DR HASAN: Sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat khususnya PAS semakin meningkat. Parasnya jauh daripada angka tahun sebelumnya.
Sokongannya merata mengikut umur terutama di kalangan golongan muda, yang disebut sebagai saluran tiga dan empat. Orang muda nampaknya lebih banyak menyokong kita sekarang ini.
Jika 20 tahun lalu masyarakat yang menyokong PAS ramai di kalangan masyarakat desa tapi sekarang ini membabitkan masyarakat bandar, separuh desa, pinggiran bandar dan hujung desa. Begitu juga dengan masyarakat pedalaman masih menyokong PAS. Walaupun bilangan mereka jika dibandingkan dengan sasaran kita masih banyak boleh diusahakan.
Presiden Umno, Dato' Seri Najib Razak mengeluarkan kenyataan kepada warga Selangor supaya menggunakan apa sahaja `senjata' untuk merampas Selangor. Apakah Dato' melihat Najib seolah-olah mahu mengajak rakyat berperang?
Dalam hal ini saya memandang dari sudut positif. Najib berada dalam kerajaan Persekutuan yang mempunyai sumber terlalu banyak. Sumber dalam bentuk duit, agensi kerajaan, media dan berbagai-bagai sumber yang boleh digunakan. Saya harap itulah yang dimaksudkan oleh Najib. Seluruh jentera kerajaan digunakan untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat.
Tetapi jika dibaca daripada sudut negatif, Najib akan menggunakan senjata yang halal dan yang haram juga. Apa senjata yang haram, saya rasa rakyat faham. Tetapi saya suka melihat daripada sudut positif.
Kalau misalnya, Umno mengajak kita membuat sesuatu yang tidak diizinkan oleh agama dan budaya, dan tidak diizinkan oleh orang yang berfikiran waras, saya rasa Perdana Menteri amat-amat tidak `cocok' untuk menggunakan frasa yang demikian.
Saya orang yang cintakan keamanan, keadilan, orang yang cintakan pembangunan yang aman damai untuk rakyatnya. Saya harap perkara yang negatif yang tidak dihalalkan itu tidak dimasukkan dalam tafsiran menggunakan apa sahaja yang ada untuk merampas Selangor.
SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) didakwa bekerjasama dengan Umno untuk merampas Selangor. Hal ini makin terserlah setelah diadakan semakan daftar pemilih. Apakah tindakan PAS Selangor untuk menghalang usaha jahat Umno untuk menawan Selangor secara tidak demokrasi?
Setiap tahun pilihan raya memang berlaku pertambahan pengundi. Pertambahan ini mempunyai bukti yang mengatakan bahawa pertambahan itu adalah disebabkan oleh penghalalan mereka tinggal di negara ini.
Dalam jangka masa, tak tahu berapa lama pun untuk mendapat kerakyatan, supaya mereka diberikan kad pengenalan untuk membolehkan mereka masuk sebagai pengundi.
Dengan adanya sistem maklumat yang canggih sekarang ini mereka boleh buat tetapi kita sudah dapat mengesan dengan sistem kita iaitu SSDP (sistem semakan daftar pemilih) jika mereka canggih kita pun canggih.
Ada cara yang tidak halal dilakukan oleh mereka tetapi telah dinafikan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato' Hishammuddin Hussein. Bagi kami, iaitu Pemuda PAS Selangor akan mengambil tindakan yang agak ketara untuk menggambarkan betapa kita tidak merestui sama sekali apa yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN.
Kita akan pergi dari peringkat demi peringkat sehingga apa yang tersemat di hati kita selama ini, dapat dibongkar. Pembongkaran itu akhirnya, insya-Allah akan menjelaskan kepada kita tipu helah yang dilakukan oleh Umno-BN.
Dato' jika dirujuk semula pelawaan Najib menyarankan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat dan bersatu dengan Umno, apakah ini tanda bahawa Umno sudah hilang sokongan Melayu?
Persoalannya saya hendak rujuk kepada Mursyidul Am kita Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya masuk PAS ini kerana perjuangan Islam. Saya berjuang dalam PAS dan bersetuju dilantik sebagai Pesuruhjaya selama ini adalah atas nama perjuangan Islam. Jadi, misalnya jika kita disatukan dengan Umno atas perjuangan bangsa, nasionalisma, fahaman yang sempit begitu, saya tidak terpanggil ke arah itu.
Tetapi misalnya jika kita betul-betul menjunjung Islam maknanya apa yang dilakukan oleh PAS sekarang ini, Tuan Guru Nik Aziz berkali-kali menyebut dalam Perlembagaan, kalau Umno perjuangannya untuk Islam, beliau sanggup menganjurkan PAS dibubarkan dan kita duduk di atas satu payung, satu bendera dan satu perjuangan.
Penyatuan ini bagi saya, saya akan restukan kalau...misalnya yang ditonjolkan ialah perjuangan dan penyebaran Islam untuk mendapatkan kecantikan dan kemakmuran, kehebatan serta kemanisan Islam. Islam itu dapat dirasakan oleh semua golongan rakyat, Cina, India dan pelbagai bangsa.
Yang selama ini di bawah Umno tidak dapat merasakan tentang kehebatan, kecantikan dan kemanisan Islam.
Tapi...Dato', Umno juga mengatakan mereka juga memperjuangkan Islam..
Ya…lah, Umno boleh mengatakan tapi realitinya, di Selangor tiga tahun tiga bulan sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih, apa yang berlaku pada Sekolah Agama Rakyat, mereka tidak bantu satu sen pun, apa yang berlaku pada maahad tahfiz swasta tak dibantu, apa yang berlaku pada sekolah milik kerajaan yang ditabdir oleh Jais (Jabatan Agama Islam Selangor), bangunannya masih kayu lantainya reput dah bocor sana sini.
Begitu juga apa jadi dengan guru-guru Kafa tidak terlatih kebanyakannya; kasihan mereka, mengajar bertahun-tahun ada sampai 12 tahun tetapi pengajarannya tidak mencapai matlamat. Ini kerana tiada latihan tetapi projek-projek mega yang lain hebat.
Pada saya projek mega yang utama sekali ialah projek pembangunan insan. Projek lain iaitu projek bangunan itu adalah projek mendatang. Pembangunan insan itu didahulukan, itu dalam PAS. Kita masuk saja tiga tahun tiga bulan dalam tahun yang pertama, kita sudah mengubah seluruh sistem pelantikan AJK masjid dan surau.
Dulu mereka ditunjuk (dilantik) dan dilantik orang-orang Umno, pemimpin-pemimpin Umno yang tak tahu masjid hendak mentadbir masjid. Sekarang apabila kami sudah masuk kami bersama Jais dan Mais (Majlis Agama Islam Selangor) telah menyebabkan 525 masjid dan 1,987 surau sudah mendapat AJK yang dipilih oleh ahli kariah sendiri.
Selangor juga akan mengorak langkah untuk melatih pendakwah yang boleh dihantar ke kilang, di kedai. Di mana-mana mereka boleh berdakwah. Dalam suasana korporat, boleh cerita tentang produktiviti. Kita hendak pendakwah ini mampu menghadap pekerja dari atas hingga bawah dengan menggunakan bahasa kerja mereka, yang ini saya dapati belum ada di Selangor.
Jadi kita mengorak langkah melatih 1,200 orang termasuk 400 khatib dan 400 pendakwah muda. Jika ini disatukan kita dapat bayangkan 1,200 orang ini akan menimbulkan suasana baru untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam konteks ‘real’nya dapat dijalankan dan kita hendak gunakan tenaga yang sedang dilatih ini untuk menjalankan peranan tersebut.
Menteri Besar Selangor (Tan Sri Khalid Ibrahim) mencadangkan supaya Selangor mengadakan pilihan raya berasingan dengan kerajaan Pusat. Apakah ini disebabkan kerajaan Pakatan Rakyat berasa takut berhadapan dengan Umno-BN?
Saya sebagai Pesuruhjaya pertama sekali mendengar kenyataan Menteri Besar dibuat dalam sidang Dun. Mungkin kenyataan itu keluar daripada mulut beliau yang saya rasa atas beberapa sebab. Perkara ini masih belum lagi dibincang setiap komponen parti dalam Pakatan Rakyat.
Jika misalnya tidak diadakan serentak tentu ada pro dan kontra. Oleh itu perlu disenaraikan apa pro dan apa kontranya. Jika misalnya pro lebih banyak daripada kontra dan kita mendapat seluruhnya dalam Pakatan Rakyat ini; DAP, PAS dan KeADIlan mengatakan ya...kita buat pilihan raya berasingan maka saya akan sokong apa yang dicadangkan oleh Menteri Besar.
Tetapi jika misalnya yang kontra lebih tinggi daripada pro (walaupun kenyataan telah dibuat) bagi saya tidak ada masalahnya untuk kita menganalisis kembali jika ada fakta-fakta yang tidak membantu kita, jika sekiranya kita membuat pilihan raya berasingan dengan Parlimen.
Bagi PAS senang saja, semua parti-parti telah menangguhkan pemilihan kerana dianggap pilihan raya sudah hampir. Hanya satu parti sahaja yang meneruskan pemilihan iaitu PAS. Ertinya PAS ini tidak pernah takut kepada pilihan raya, PAS tidak pernah takut Umno hendak menang ke atau PAS hendak menang. PAS jika Perlembagaan mengatakan setiap dua tahun ada pemilihan maka akan dilalui.
Kita lihat 4 Jun ini ada Muktamar dan ada pemilihan. Katakan pilihan raya misalnya bulan September, maknanya tidak ada parti yang sanggup berdepan dengan pemilihan yang biasanya akan menimbulkan keretakan. Puak-puak yang bertambah runcing lagi punya jurang puak-puak dalam parti, saya rasa PAS tidak pernah takut dan tak perlu takut pada kemungkinan-kemungkinan itu.
Sejarah telah membuktikan banyak kali kita mengadakan pilihan raya pada masa pemilihan parti berjalan terus, tetapi ia tidak menimbulkan apa-apa yang negatif.
Selama tiga tahun tiga bulan ini apakah Dato' berpuas hati dengan pencapaian Dato' sebagai exco dan Pesuruhjaya PAS?
Saya sebagai Pesuruhjaya, boleh dikatakan aman. PAS Selangor walaupun kita dapati ada nampak macam ada yang tidak sekata dari segi memandang beberapa isu, tetapi secara keseluruhannya kita ada 56 Dun dan 22 Parlimen, pentabiran PAS berada dalam aman dan sejahtera.
Kita memang sepanjang masa dan ketika kita mendapat laporan melalui mesyuarat. Belum pernah gagal mesyuarat Perhubungan negeri yang diadakan sebulan sekali. Manakala mesyuarat dewan harian sebulan dua kali. Saya melantik pasukan kerja seperti Paskad, meneliti manifesto, dana pilihan raya, pemikir parti, menawan pengundi muda, khusus melihat kemaraan kita dikalangan pengundi bukan Melayu.
Nampaknya, alhamdulillah melalui Setiausaha Perhuhungan negeri yang sentiasa memantau dengan mendapatkan maklum balas. Ini akan dijadikan sebagai garis bertindak utama atau lapangan utama yang akan kita gerakkan dalam PRU ke-13.
Saya sebagai Pesuruhjaya saya tidak pernah tinggal walau seminggu berjumpa dengan teman yang kebanyakan berpusat di masjid, kecuali saya berada di luar negara.
Saya akan memberi khutbah pusing satu Selangor. Mungkin yang jauh di Sabak Bernam saya tidak dapat sebab setiap Jumaat ada mesyuarat sehingga jam 12 tengah hari. Kecuali saya ada program di Sabak Bernam. Tetapi yang pasti saya belum gagal setiap kali Jumaat.
Dalam khutbah itu saya sampaikan mesej. Saya berjumpa dengan pimpinan parti supaya hubungan di akar umbi sentiasa rapat dan mesra. Pada masa yang sama saya saban malam tidak tinggal lagi mengadakan program ceramah. Sekarang ini saya akan memanggil mesyuarat khas.
Kita hendak aturkan bagaimana kita hendak berjumpa dengan rakyat dengan mengadakan majlis dialog dengan pengundi supaya mereka lebih faham apa yang telah dilakukan kerajaan Pakatan Rakyat terutama PAS selama tiga tahun tiga bulan.
Sebagai exco pula saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada MB dan exco yang lain kerana diberi kesempatan untuk menonjolkan Islam dalam mseyuarat exco dan Mtes.
Kami daripada PAS yang dapat menonjolkan idea yang berkait dengan Islam. Kita bersyukur kerana di Selangor kita ada sumber maknanya apa yang kita rancang kita dapat jalankan berbanding negeri lain.
Saya, YB Dr Halimah Ali dengan pelbagai program pendidikan begitu juga dengan YB Iskandar A Samad dengan isu rumah dan setinggan. Saya bertanggungjawab program Islam serta kemudahan awam. Alhamdulillah yang kita rancang dapat dilaksanakan.
Sebagai peneraju negeri Selangor, alhamdulillah saya memegang infrastruktur biasanya orang menekankan inilah kontrakot dan tender. Walaupun saya tidak memegang secara langsung tetapi saya pegang satu imej iaitu kita bersih.
Jadi orang tidak boleh kelentong kita. Orang masuk ke bilik saya dan orang tidak berani membuka mulut untuk perkara yang negatif. Saya yakin ini tidak berlaku kepada YB Iskandar dan YB Halimah. Sebab imej kita bersih tidak ada disuap di bawah meja dan sebagainya. Kita bersih.
Mudahkah untuk Dato' atau PAS mentadbir negeri Selangor?
Untuk mentadbir negeri Selangor ini kita mesti menjaga empat hubungan utama termasuk hubungan dengan Istana. Alhamdulillah saya merasakan hubungan dengan Istana sangat intim.
Duli Yang Maha Mulia Sultan pun sentiasa membuka ruang dan peluang kepada saya dan teman-teman untuk menghadap Baginda pada bila-bila masa sahaja kiranya kita mempunyai perkara yang perlu dibincangkan pada peringkat Istana.
Yang kedua hubungan dengan Menteri Besar; saya dan teman-teman yang dijadualkan sebulan sekali, walaupun atas kesibukan. Yang cantiknya dalam PAS ini kita ikhlas jujur dan menasihat MB pun ikhlas, dan MB terbuka dada menerima nasihat kita.
Hubungan dengan pegawai kerajaan, saya yakin mereka memberikan satu tanda positif dengan hubungan mereka dengan exco PAS.
Hubungan dengan rakyat, saya sebagai Pesuruhjaya saya tidak kekok pergi ke estet dan bagan; pergi ke masyarakat Jawa dan Banjar serta boleh sikit-sikit bahasa mereka.
Akhirnya saya dengan kedudukan Pesuruhjaya dan ahli exco dengan sifat terbuka dan tidak pernah menidakkan orang untuk bertemu dengan kita.
Walaupun pukul 8.00 malam siapa juga yang datang kita layan. Kita berkhidmat hampir 24 jam. Saya bersyukur berlapang dada dengan penuh khusyuk berkhidmat di negeri Selangor.
Kita bergabung baru tiga tahun tiga bulan banding Umno 60 tahun. Bagi saya tiga tahun tiga bulan masih era `berbulan madu'. Saya sebagai exco dan Pesuruhjaya berpegang dengan falsafah mentadbir negeri Selangor dengan penuh hikmah.
Menggunakan tingkat pengurusan yang tertinggi mentadbir Selangor dengan penuh kejujuran dan keikhlasan. Tidak ada menunjukkan keuntungan keluarga dan diri tapi semua untuk rakyat demi mencapai keredaaan Allah.
No comments:
Post a Comment