Umno yang cemas dan lemas; rakyat ok-ok sahaja |
http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=13903Posted on Friday, May 20 @ 19:23:03 PDT by paktam Oleh Dr Khairuddin Abdul Malik Tiada siapa di dunia ini yang percaya Umno adalah parti Islam. Buktinya sahabat sekelambu Umno: iaitu MCA awal-awal lagi memberikan amaran supaya Umno jangan pandai-pandai ajak PAS masuk BN kecuali jika PAS menggugurkan hasrat untuk melaksanakan prinsip Islam di Malaysia. SEJAK pilihan raya Sarawak berakhir,negara gegak gempita dengan ucapan-ucapan retorik pemimpin-pemimpin Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tajaannya Perkasa. • Orang Cina tak berterima kasih dan tak mengenang jasa Barisan Nasional (BN). • Orang Cina nak ambil alih kuasa daripada Melayu. • DAP ada agenda nak singkirkan kuasa Melayu. • Kalau orang Cina tak sokong MCA,tidak ada lagi suara Cina di Putrajaya dan orang Cina akan merana. • PAS susah-susah dukung Pakatan Rakyat,tapi DAP yang menang. • Lebih baik PAS bersama Umno kuatkan kuasa Melayu. • Buat apa PAS berpakat dengan DAP, kerana DAP tak pernah pun memperjuangkan Islam. Malah media lidah bercabang Umno, Utusan Malaysia lebih jauh lagi mendedahkan betapa membarahnya roh Umno yang sedang sakit itu dengan kenyataan seperti berikut : "Umno-BN disarankan lupakan sahaja undi orang-orang Cina dan mengajak orang-orang Melayu bersatu dengan slogan baru ‘1Melayu , 1Bumi’. Penulis bahkan dimaklumkan oleh rakan-rakan daripada Kementerian Pelajaran jagaan Muhyiddin Yassin (TPM Malaysia),kursus dan pelbagai seminar yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran mengugut kakitangan kerajaan tentang kemungkinan DAP akan menguasai Malaysia. Diceritakan betapa jahatnya DAP. Namun, PAS tidak diserang sekadar menyatakan PAS tanpa sedar sedang diperalatkan oleh DAP. Sebagai doktor perubatan dan sekali gus pengawal sains politik, penulis akan gagal jika tidak membuat – diagnosis-diagnosis berikut terhadap pesakit saya yang bernama Umno. i. Umno sedang menghidap penyakit ‘Senile Dementia’-pelupa dan kurang kekuatan intelek. Kejap Satu Malaysia kejap Satu Melayu. Seolah-olah pesakit kena telan ubat cirit dan ubat sembelit sekali gus! ii. Umno sedang menghidap sakit jiwa bertaraf psikosis dengan ciri-ciri halusinasi dan delusi-semua orang salah,dia sahaja yang betul, Nampak bayang katanya hantu. iii. Umno sedang mengidap penyakit fizikal yang berupa kerosakan menyeluruh pelbagai organ (multi-organ failure)-selalu pening pitam,sesak nafas,perut membusung dan kaki membusuk gangrene. Hutang negara menggunung, rasuah tak terkawal, jenayah berleluasa, gejala sosial luar kawalan dan hubungan perpaduan rakyat yang tercalar. iv. Umno sedang menghidap andropause-lelaki tua yang bernafsu besar, kuat cemburu, asyik tuduh isteri main mata dengan jejaka muda dan suka menuduh lelaki yang lalu lalang di depan rumah cuba menggoda isteri yang gagal diberikan nafkah. Umno dah tak boleh jaga MCA, Gerakan dan MIC dan tak habis-habis mengugut MCA dan MIC. Pulak tu kuat cemburu dengan lelaki-lelaki tampan bernama PAS dan DAP. v. Umno sedang menghidap sakit ‘fiqulubihim marodun’ (al-Baqarah: 10): qulub (hati) yang dipenuhi sifat-sifat mazmumah-dengki, buruk sangka, takbur, ujub dan ragu-ragu (syak). Dengan pengundi Melayu katakan PAS jadi alat DAP dan gadaikan Islam. Dengan pengundi Cina, Umno kata PAS parti ekstrem nak potong segala kepala orang Cina. Umno ajar MCA supaya sebut "Satu undi untuk DAP bermakna satu undi untuk negara Islam." Benci sangatkah Umno kepada Islam? Itulah tanda-tanda munafik yang dinukilkan dalam al-Quran. Benarkah DAP perkauman dan anti-Melayu? Penulis bukan peminat setia DAP dan tidak juga memusuhi DAP. Namun penulis sudah bergaul dan berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin DAP peringkat negeri sejak 1988. Memang benar kebanyakan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli DAP orang Cina tetapi di Perak tidak kurang juga ahli-ahli DAP daripada bangsa Melayu, India dan Sikh. Bahkan di Perak bebarapa orang Melayu pernah memimpin DAP Perak dan memenangi kerusi-kerusi Dun atas tiket DAP. Antaranya, Salleh Nakhoda Hitam, Ibrahim Singgah, Fadzlan Yahya dan Asri Othman. Bahkan di peringkat nasional, tokoh-tokoh Melayu yang menjadi pemimpin DAP terus ada dari semasa ke semasa. Antaranya, Allayarham Ahmad Nor dan kini Tengku Aziz. Orang mungkin lupa Karpal Singh adalah pengerusi DAP dan orang seperti Karpal Singh langsung tidak berminat tentang agenda berasaskan kaum, baik atas nama Melayu, Cina ataupun Sikh. Orang secelupar Karpal Singh tidak mudah menerima agenda Cina di Malaysia. Karpal Singh dan ramai pemimpin DAP adalah pemimpin-pemimpin yang berideologi sekular yang sangat taat memperjuangkan ‘Rule of Law’ berasaskan Perlembagaan Malaysia yang mereka anggap seperti ‘kitab suci’ mereka. Buktinya Karpal Singh pernah membela kakitangan perempuan Melayu beragama Islam yang dipecat jawatan kerajaan kerana memakai purdah. Bukan Karpal Singh sukakan Islam dengan amalan menutup aurat tetapi beliau sangat menghormati prinsip undang-undang yang mempertahankan hak-hak asasi manusia dan segi berpakaian dan mengamalkan agama masing-masing. Lim Guan Eng pula pernah dipenjarakan kerana memperjuangkan hak seorang gadis sunti Melayu yang dikatakan dirogol oleh seorang Ketua Menteri daripada Umno ketika itu. Lim Kit Siang pula pernah ditahan ISA kerana menentang kekecohan perkauman cetusan Umno-MCA. Gobind Singh Deo pula digantung oleh Parlimen tanpa elaun kerana mempertikaikan tindak-tanduk Dato’ Seri Najib Razak dalam isu ‘rasuah kapal selam dan pembunuhan Altantuya’. Benarkah PAS parti boneka Cina-DAP? Wajar diperingatkan PAS adalah satu-satunya parti politik di Malaysia yang secara tegas, tidak berselindung dan istiqamah mengaku sebagai sebuah parti Islam yang bercita-cita di negara Malaysia ini terlaksana hukum-hakam dan nilai-nilai hidup yang berteraskan al-Quran dan As-sunnah. Dengan kata lain akidah perjuangan PAS adalah Islam dan matlamat keberadaan ahli-ahli PAS dalam politik adalah demi mencari keredaan Allah. Wajar juga diperingatkan dasar Islam PAS tidak pernah berganjak dan tidak akan dikorbankan. Adapun cara, kaedah dan pendekatan mencapai matlamat PAS ataupun istilah yang selalu digunakan – Strategi - akan diubahsuai dari semasa ke semasa berdasarkan suasana, keperluan dan mengambil kira faktor untung-rugi. Namun strategi yang PAS gunakan tidak akan menyalahi prinsip-prinsip al-Quran dan As-sunnah. Bahkan banyak disandarkan dengan sirah (perjalanan perjuangan Rasulullah) dan iktibar gerakan-gerakan Islam lain yang lebih awal. Testimoni kepda strategi berbeza yang PAS gunakan dapat dilihat dalam sejarah panjang perjuangan PAS dalam politik Malaysia. PAS juga satu-satunya parti yang pernah bergabung dan bekerjasama atau bertahaluf dengan pelbagai entiti politik di Malaysia. PAS pernah bersama Umno-BN, APU (Semangat- 46 dan Berjasa), dan bersama Barisan Alternatif dan sekarang Pakatan Rakyat. PAS juga biasa bersendirian. Semasa PAS bertahaluf dengan BN tentulah PAS juga bekerjasama dengan MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Semasa bersama dengan APU juga ada hubungan tak langsung dengan PBS di Sabah. Ini bermakna PAS sangat terbuka dan tidak jumud dalam tindakan dan pendekatannya. Apa makna kepada strategi PAS yang pelbagai tersebut? PAS tetap sama dan tidak pernah menggadai perjuangan. Buktinya mudah. Dikala PAS tidak diperlukan oleh Umno, ketika itu PAS akan dicerca sebagai memperalatkan Islam dan mengkafirkan orang Umno. Tetapi ketika Umno gila talak mahukan PAS menyertai BN, tiba-tiba Umno berubah! Seperti kata PM Najib: "PAS sebagai parti Islam tentu lebih sesuai dengan Umno. Cita-cita Islam PAS lebih mudah dicapai melalui BN." Yang pasti dan tetap adalah: PAS sama ada di kaca mata Umno, DAP, KeADILan mahupun MCA adalah parti Islam. Tidak siapa di dunia ini percaya Umno adalah parti Islam. Buktinya sahabat sekelambu Umno: iaitu MCA awal-awal lagi memberikan amaran supaya Umno jangan pandai-pandai ajak PAS masuk BN kecuali jika PAS menggugurkan hasrat untuk melaksanakan prinsip Islam di Malaysia. Makna kedua bagi kenyataan MCA itu adalah selama ini MCA boleh menerima Umno sebagai rakan kongsi kerana Umno menolak Islam. Berbeza dengan DAP, mereka tahu PAS memperjuangkan Islam tetapi tidak pernah mendesak PAS untuk menggugurkan dasar murni PAS tersebut. Atas hujah-hujah tersebut bagaimana mungkin orang yang berakal (tidak gila) dan cerdik boleh percaya PAS sudah jadi alat atau boneka DAP. Adakah pernah orang DAP meminta lesen judi dan lesen arak yang PAS luluskan sebagaimana Umno luluskan beratus-ratus lesen judi dan arak kepada tauke-tauke MCA. Adakah pernah PAS cuba kambus jenayah dan rasuah DAP sebagaimana Umno cuba selamatkan tauke-tauke MCA seperti dalam skandal Perwaja Terengganu, Bakun Sarawak dan PKFZ dan semua skandal berbilion-bilion ringgit di Malaysia ini selalunya adalah gabungan makar Umno dan MCA. Terlalu banyak bukti bahawa MCA-lah yang tunggang Umno atau dengan kata lain Umno adalah boneka MCA. Sekadar PAS mempertahankan wakil-wakil rakyat DAP yang memasuki surau atau masjid untuk berucap dan menyampaikan bantuan kepada fakir miskin itu bukan boneka DAP. Itu maknanya PAS boneka Islam kerana uslub dakwah Islam tidak pula menghalang orang-orang bukan Islam memasuki surau atau masjid kerana itulah yang pernah diamalkan oleh Rasulullah di Madinah. Keputusan PAS yang hanya ada satu kerusi bersetuju untuk menjadi kompenan kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin pleh DAP di Pulau Pinang adalah satu kewajaran. Yang tidak wajar adalah apabila Umno menang paling banyak kerusi di Pulau Pinang, tiba-tiba serah kerusi Ketua Menteri kepada Gerakan. Bukankah itu juga bermakna Umno adalah boneka kepada Gerakan. Sehinggakan pada tahun 2007 hanya 1.6 peratus sahaja tanah milik orang Islam yang wujud di Pulau Pinang akibat kebaculan Umno. Komplot Umno-Gerakan-MCA selama 50 tahun adalah punca longlainya Melayu/Islam Pulau Pinang. Kenapa tiba-tiba sekarang DAP dan PAS dipersalahkan? Nyata bahawa ungkapan PAS boneka DAP adalah ciptaan Umno sebagai propaganda memburukkan PAS bagi mengalihkan segala kepincangan dan pengkhianatan Umno kepada orang Melayu-Islam. Baik PAS atau Umno perlukan sokongan orang Cina untuk menang dalam pilihan raya. Mana lebih baik antara persahabatan PAS-DAP yang tidak rasuah dan bebas judi dengan persekongkolan Umno-MCA yang rasuah dan mesra judi. Terserah kepada orang Melayu untuk berfikir. Sementelahan pula mutakhir ini terbukti bahawa era MCA dipimpin Chua Soi Lek adalah sangat kuat bencinya kepada Islam. Umno buta Matematik Najib kata PAS kerja kuat untuk menangkan DAP. Orang-orang Melayu ditakutkan kemungkinan DAP akan menguasai negara atau beberapa negeri. Sekali lagi Umno tak habis-habis cuba memperbodohkan Melayu. Di semua kerusi yang DAP memang baik kerusi Parlimen ataupun Dun - kerusi BN yang terus adalah sama ada kerusi MCA, MIC, PPP atau Gerakan. DAP tak kalahkan calon Umno. Bagaimana pula tiba-tiba DAP nak memerintah dan jadi anti-Melayu. Statistik membuktikan,di seluruh negara ada 222 kerusi Parlimen. DAP hanya boleh bertanding tidak lebih 45 kerusi. Kalau menang 100 peratus DAP tetap tak boleh memerintah. Di Perak ada 59 kerusi Dun tetapi DAP hanya boleh bertanding dan menang di 18 kerusi sahaja. Di Sarawak ada 71 kerusi Dun dan DAP hanya bertanding 15 kerusi sahaja. Takkanlah orang Melayu nak ikut ketololan Umno yang buta Matematik. Yang benar tetap benar. Kepalsuan tidak mungkin boleh bertahan lama. Politik baru akan terus mewarnai kehidupan rakyat Malaysia. Politik baru bermakna kebenaran, fakta, hujah, ketelusan, keikhlasan dan setiakawan. Politik lama ala Umno akan melabuhkan tirai. Sentiman dan perjuangan berdasarkan perkauman, kepentingan kelompok, benci membenci dan curiga mencurigai yang ditaja Umno tetap akan tewas kerana ia batil dan bertentangan dengan fitrah akal manusia. Umno yang lemas dan cemas tak perlu kecoh. Rakyat ok, ok sahaja |
No comments:
Post a Comment