ROMPAKAN BN UMNO

ROMPAKAN BN UMNO

CLICK at HOME..if it said this blog not exist.

Thursday, 4 August 2011

Untuk MELAYU Johor..TOTOK UMNO.


Surat kepada Melayu Johor

OLEH HASMI BIN HASHIM


1 Ogos 2011 | 1 Ramadhan 1432
Kalau ditunggu orang bergadang,
Dari malam sampai ke pagi;
Kalau ditunggu saya tak pulang,
Hati ku ada dalam negeri.

Assalamualaikum-warahmatullahi-wabarakatuh,

Kepada saudara-saudaraku Melayu Johor.
Baca dan renungkan kata-kata pada surat ini baik-baik. Fahamkan ia. Kalau boleh dijadikan pesan, jadikanlah pesan agar tersebar ke hujung masa.
Diajar akan orang tua-tua untuk kasihkan bangsa, taatkan agama. Tidaklah kita punya negeri yang lain lagi kecuali tanah air yang satu ini. Hendaknya jadilah keluarga kita kelak, bangsa yang besar dengan bijaksana. Lalu tak lekang diingatkan sejak kecil agar tak berbohong; tak mencuri; tak menghukum tanpa benar bukti, selain; jangan sombong tinggi melonjak, nanti kepala tersekup tanjak. Ini adalah didikan asas untuk bergelar manusia.
Saudara-saudaraku sekalian,
Telah sampai kepada kita akan kisah Dato’ Onn Jaafar yang pernah dibuang ke Singapura oleh baginda Sultan Johor. Waktu itu, Singapura masih menjadi sebahagian negeri. Tak diberinya Dato’ Onn masuk menjejakkan kaki ke Johor lagi. ‘Dosa’ Dato’ Onn hanya apabila menegur tindak-tanduk baginda yang tak menguntungkan barang sesiapa. Tapi, taklah sampai diamuk sampai di anjung istana.
Tak dapat diterima oleh Dato’ Onn apa yang dilakukan Sultan yang abai dan tak memayungi rakyat jelata; berpihak pula kepada yang kaya, kepada yang kuat kerana jahat. Sedangkan di waktu sama, Inggeris menyusun Malayan Union untuk mengambil seluruh Tanah Melayu jadi milik mereka… selama ada bulan dan matahari di langit tinggi.
Hanya apabila rundingan berlangsung, seraya bersetujulah Ratu di England untuk memberi kemerdekaan ke atas Tanah Melayu ini, maka Dato’ Onn bersama pemimpin-pemimpin Melayu pun memberi tempat dan mengangkat kembali Sultan-Sultan Melayu ke takhta kerajaan.
Dato’ Onn tak berdendam orangnya. Berharap dan berpesanlah dia agar Sultan dan Raja-raja Melayu juga mengambil pengajaran dari keterlanjuran lalu di samping terikat janji untuk Raja tetap memelihara rakyat; tidak lagi cuai mahupun berpihak hanya kepada yang berkuasa tanpa dicermati akan benar-salah duduk sesuatu perkara. Kata Dato’ Onn, “raja adalah rakyat, rakyat adalah raja”.
“Merdeka” maksudnya takkan sesiapa boleh berbuat sesuka hati kepada sesiapa pun yang lain. Tidak rakyat kepada Sultan, tidak Sultan kepada rakyat. Tidak pemimpin kepada rakyat, tidak rakyat kepada pemimpin. Tidak juga rakyat sesama rakyat.
Saudaraku Melayu Johor,
Adalah tak benar perjuangan untuk membebaskan bangsa kita dari penjajahan Inggeris itu tanpa korban nyawa. Takkan dapat ditutup lagi kisah Mohamad Indera, atau dipanggil orang Semerah dengan gelar “Mat Indera” sahaja.
Dia khabarnya orang alim berilmu agama. Bagi Mat Indera, tak ada jalan lain untuk melawan Inggeris kecuali dengan angkat senjata. Senapang lawannya senapang. Meriam lawannya meriam. Mat Indera dan orang-orangnya pun masuk ke hutan.
Di mata penjajah Inggeris, sesiapa sahaja yang masuk hutan, dituduh sebagai “Komunis” dan “pengganas”, termasuk Mat Indera. Dinyalakan bara benci di hati orang-orang Melayu ke atas Melayu lain yang melawan Inggeris. Dijanjikan wang ringgit dan kekayaan kepada siapa yang menangkap Mat Indera, dibawa ke hadapan Inggeris hidup atau mati.
Akibat tamak, atau barangkali juga kurang cermat direnung persoalan, maka ada Melayu yang tergamak melakukan muslihat. Dibubuhnya daun kecubong yang ditumbuk halus-halus ke dalam air kopi. Diberi hidang kepada Mat Indera. Dia tahu berulang bulan, Mat Indera beserta dua-tiga orang akan singgah ke rumahnya waktu malam. Berjanji mengambil bekalan makanan, sebelum masuk semula ke hutan.
Dalam tak sedarkan diri, Mat Indera pun diikat kaki-tangan dan diserah batang tubuhnya kepada Inggeris. Dipasung di Balai Polis Batu Pahat sebelum dihantar ke Perak untuk dihukum gantung atas tuduhan ‘mengkhianati’ pemerintahan Inggeris.
Orang-orang Melayu pada siang itu pun berhimpun di perkarangan Balai Batu Pahat. Beribu-ribu ramainya. Berlaung-laungkan “allahuakhbar”. Bersedih. Menitislah air mata melihat wira Melayu itu akan dihukum mati.
Begitulah patut sejarah mengajar bagaimana diputar-belit oleh penjajah atau pemerintah yang punya kuasa senjata dan penjara. Kisah seumpama juga berlaku di negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Kemerdekaan bangsa kita tetap telah terjadi dengan kuderat, darah dan air mata.
Maka tak benar kemerdekaan semata-mata dengan jalan rundingan. Bertambah tak benar apabila dikatakan kemerdekaan negeri ini hanya oleh Umno. Sangat tak adil bila disisihkan pertubuhan lain seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) atau berpuluh mahupun beratus lagi nama pejuang Melayu yang tak bersama Umno.
Dato’ Onn adalah pendiri Umno. Kalau orang yang paling sayangkan Umno, Dato’ Onn-lah orangnya. Namun, politik tikam-belakang di kalangan golongan bangsawan Istana menyebabkan Dato’ Onn tawar hati. Buah fikiran Dato’ Onn untuk membuka pintu parti kepada orang-orang bukan Melayu; mengubah nama daripada “United Malay” atau “Melayu Bersatu” kepada “United Malaya” atau “Malaya Bersatu” pada nama Umno ditolak mentah-mentah. Tak cukup itu, nama Dato’ Onn dicemar di surat-surat khabar tanpa terlebih dahulu cuba difikir sedalam-dalamnya kebijaksanaan daripada pandangan itu.
Nampak gopoh sekali segelintir “bangsawan istana” untuk merangkul kuasa. Seraya diberi kuasa dan amanah, dilepaskannya pula Singapura dari Johor. Konon tak ada cara untuk menyekat Lee Kuan Yew yang bersifat kuku besi.
Selepas era Dato’ Onn, Umno payah hendak dibaiki. Renungan Dato’ Onn bahawa pemimpin Melayu harus berjiwa besar dan benar-benar bersedia memimpin semua kaum, kini benar. Parti dan pemimpin lama wajib diganti baru.
Saudaraku sekalian,
Tragedi September ‘98 menjadi cermin yang politik elit berkuasa sudah keterlaluan. Bukan hanya hendak berkuasa, tetapi memulakan fitnah terang-terangan, ugut dan tangkap. Tak ada bezanya laku sebegitu dengan amalan Perdana Menteri Pertama Singapura yang kita cemoh dahulu. Kita membenci kejahatan dan kezaliman tak kira dari jauh atau dekat. Nama “Melayu” bukan alasan untuk mengizinkan kongkongan dan kezaliman apa pun, termasuk oleh anak watan sendiri.
Begitu banyak kerajaan-kerajaan tua di Nusantara di zaman silam runtuh akibat fitnah dan petingginya makan suap. Majapahit, Mataram bahkan Melaka adalah contoh yang ada. Lemahnya kerajaan-kerajaan itu bukan tak punya pasukan perang yang handal, tetapi ia mereput dari dalam. Rosak oleh fitnah, pembohongan dan menteri yang boleh dibeli dengan ufti.
Hasut-hasutan membenci kaum lain, yang beragama lain oleh orang-orang politik berkuasa biasanya tak lain untuk menutup kelemahan dan pekong sendiri. Jangan-jangan mereka ada mencuri. Jangan-jangan mereka telah cuai dalam pekerjaannya, lalu ditimbulkan cerita serta fahaman yang bukan-bukan. Dengan laku begini, harapannya agar dia terselamat.
Saudara-saudaraku Melayu Johor,
Cepat-cepatlah kita kembali kepada niat yang asal; berbuat baik dan melawan kejahatan seperti nenek-moyang kita pernah sekuat daya menentang penjajah. Seperti didikan asas untuk menjadi manusia. Dalam hidup bernegara, kesetiaan orang-orang Melayu wajar selamanya kepadakebaikan dan keadilan itu sendiri. Hanya dengan itu, bangsa kita akan selamat dan kembali terpandang tinggi oleh segala bangsa yang ada di dunia.
Barang kata-kata saya ini, kalau boleh dijadikan pesan; jadikanlah pesan kepada saudara-saudaraku di Johor dan orang-orang Melayu di negeri-negeri yang lain juga.
Sekian. Wassalam.
Hasmi Hashim
Kuala Lumpur, 1:35 pagi.
Sumber : jalantelawi.

Apa kata Kitab Hidayatus Salikin...HASAD DENGKI?

Bermula sangat kasih akan dunia iaitu KEPALA segala kesalahan dan segala KEJAHATAN




Kitab Hidayatus Salikin...muka surat 217 hingga 220...

Kitab Hidayatus Salikin...muka surat 217

Ertinya : Kataku, demi bapaku dan ibuku, engkau ya Rosullah, siapa yang kuasa akan segala perkara ini dan siapa yang lepas daripadanya. Maka sabdanya : Hai, MU'AZ bahawasanya, mudah ia atas seseorang yang dimudahkan akan dia oleh Allah 'Azawajalla atasnya. Maka kata Kholid bin Mi'dan itu, maka tiada aku lihat akan seseorang yang terlebih banyak membaca QURAN yang 'Azim daripada Mu'az kerana ia mendengar Hadis ini. Dan kata Imam Al Ghozali Rohimullahu Ta'ala :..................ertinya, maka fikirkan dan bicarakan oleh mu hai orang yang gemar pada MENUNTUT ILMU, bagi segala perkara ini yakni segala sifat yang KECELAAN ini, dan ketahui olehmu, bahawa yang sebesar besar sebab yang membawa kepada tiap tiap segala sifat yang KEJAHATAN ini, di dalam HATI itu, iaitu orang yang menuntut ilmu kerana berkemuka-mukaan / berbantah bantah / berbahas bahas dan kerana MUNAKOSYAH yakni kerana...m/s 218.



 Kitab Hidayatus Salikin...muka surat 218

hendak mencela akan perkataan orang dan kerana hendak berbantah bantah dengan orang. Maka orang yang 'Auwah yakni orang yang tiada menuntut ilmu kerana yang demikian itu, jauh daripada kebanyakan perkara sifat yang KECELAAN ini. Dan orang yang baru menuntut ILMU FEQAH itu, iaitu yang dilontarkan akan dia bagi segala sifat yang kecelaan ini, yakni orang yang baharu menuntut ilmu feqah itu, kebanyakan ia bersifat dengan kecelaan yang tersebut di dalam bab yang ke-empat ini, dan iaitulah mendatangkan bagi binasa dengan sebab segala sifat ini. Maka tilik olehmu apa yang terlebih baik yang engkau cita cita akan segala perbuatanmu, bahawa engkau menuntut kaifiyah / cara memeliharakan daripada yang membinasakan ini dan bimbang engkau dengan membaikkan akan HATImu dan membaikkan akan akhiratmu atau yang terlebih baik, engkau cita cita bahawa engkau masuk serta / bersama orang yang masuk di dalam membinasakan akan mereka itu, dan engkau tuntut daripada ilmu yang ia itu sebab bagi menambah akan KIBIR, RIYAK dan HASAD dan 'UJUB hingga binasalah engkau serta / bersama orang yang binasa. Dan lagi kata Imam Al Ghozali Rohimullohu Ta'ala....m/s 219

Kitab Hidayatus Salikin...muka surat 219

ertinya dan ketahui olehmu, bahawa segala perkara yang TIGA ini yakni RIYAK, 'UJUB dan HASAD, itu iaitu daripada IBU segala sifat yang KEJAHATAN di dalam HATI dan adalah baginya satu tempat tambah dan iaitu sangat kasih akan dunia dan dari kerana inilah, sabda Nabi SAW : Bermula sangat kasih akan dunia iaitu KEPALA segala kesalahan dan segala KEJAHATAN dan segala DOSA dan segala MAKSIAT dan serta ini, maka dunia itu tempat BENDANG bagi akhirat yakni tempat mengambil bekal di dalam akhirat. Maka barang siapa mengambil daripada dunia dengan sekadar doruroh, yakni sekira kira hajat supaya menolongi ia dengan dia atas jalan akhirat, maka dunia itu MAZRO'AH yakni tempat mengambil bekal yang menfaat di dalam akhirat. Dan barang siapa menghendak akan dunia kerana bersedap sedap dan kerana bersuka suka dan bersenang senang, maka dunia itu, tempat membinasakan akan dia. Kata Imam Al Ghozali Rohimullohu Ta'ala....m/s 220
Kitab Hidayatus Salikin...muka surat 220

ertinya, ketahui olehmu bahawasanya, dunia itu seteru bagi Allah Swt. dan seteru bagi Aulia nya dan seteru segala seteru bagi Allah Swt. Maka makna seteru ia bagi Allah Swt. itu bahawasanya, memutuskan ia akan jalan kepadanya (Allah) atas Aulia nya (wali walinya) dan dari kerana demikian itu, tiada MENILIK Allah Swt kepadanya selama menjadikan ia akan dia. Ada pun makna seteru bagi Auliaa Allah Swt, maka bahawasanya ia perhiasan bagi mereka itu dengan perhiasannya dan hendak menyatakan, ia akan mereka itu, dengan keelokannya dan dengan kebaikannya hingga MEMUALan mereka itu akan PAHIT sabar yakni kesusahan sabar pada memutuskan akan dia dan menjauh akan dia. Dan makna seteru bagi seteru Allah Swt. maka kerana ia memasukkan ia bagi mereka itu di dalam segala KEJAHATAN dengan tipunya dan pedaya nya dan memegang ia bagi mereka itu dengan jaringan hingga percaya ia dengan dia, dan berpegang mereka itu atasnya. Maka menjagakan akan mereka itu oleh sangat berkehendak yang ada mereka itu kepadanya, yakni sangat kasih akan mereka itu kepadanya/ dunia membawa ia kepada CELAKA mereka itu dan memasukkan akan dia ke dalam api NERAKA...na'uzubillahu minha...


No comments:

Post a Comment