Padan Muka Kita
by tungkaran hati.blogspot
Seorang artis Melayu telah bergambar separuh bogel dalam sebuah majalah antarabangsa versi Indonesia. Tapi Siti langsung tak terkejut. Kalau dia tak buat begitu, barulah Siti terkejut.
Sebenarnya artis Melayu yang perangai begini bukan dia seorang saja. Banyak lagi. Mungkin mereka juga akan menyusul beraksi separuh bogel untuk majalah luar negara. Mereka nak jadi pelakon tapi berlakon macam kayu. Maka harapkan sensasi sajalah untuk hidup.
Artis beginilah yang mengotorkan dunia nyanyian dan lakonan. Siti tak nak suruh artis seorang ini minta maaf. Kalau dia nak bogel teruskanlah hingga jadi penghias muka depan Playboy. Sebab ada pihak liberal di negara ini yang berbangga kerana itu pencapaian antarabangsa.
Kalau dulu artis yang tak bermaruah seperti ini ketar lutut kerana dia akan kena gam. Tak boleh muncul di televisyen. Tok Mat (Allahyarham Mohamed Rahmat bekas Menteri Penerangan) cukup tegas. Tapi sekarang artis peduli apa. Kalau tak percaya tengoklah, nanti dia jadi rebutan stesen televisyen. Sepatutnya artis beginilah yang pertama sekali kena tendang keluar dari dunia selebriti.
Bagi Siti, ini adalah penanda aras kegagalan dasar-dasar moral kita. Kita ada jabatan mengenai hal ehwal agama Islam, kita ada mufti. Tapi bila mereka menegur, kita hentam mereka. Kita labelkan mereka sebagai kolot dan kita julang para perosak moral. Artis Melayu separuh bogel inilah balasannya kepada kita. Padan muka kita. -Siti Jarum : He...he...he...
Ada lagi.....Aksi Zarina Panaskan Indonesia
13 Nov 2011 (21 hours ago)
Hilang Budi Bahasa Ketika Di Jalan Raya
by tungkaran hati.blogspot
SEPERTI bertempur di medan perang. Itu adalah antara tanggapan yang diberikan tatkala diutarakan pandangan mengenai tahap budi bahasa dI kalangan pengendali kenderaan negara ini.
Biarpun tidak bersenjata namun cukup dengan pacuan empat, dua roda mahupun berjalan kaki, anda sebenarnya berjuang untuk "selamat" sampai ke destinasi.
Bunyi, seakan menggerunkan. Ditambah pula dengan laporan peningkatan kes kemalangan jalan raya setiap tahun terutama pada musim perayaan.
Malah, dipetik dalam satu laporan berita sebelum ini iaitu sebanyak 43,678 kes kemalangan dicatatkan sepanjang Januari hingga September tahun ini (berdasarkan rekod polis) berbanding 40,154 kes pada tempoh yang sama 2010.
Senario ini akhirnya menjurus kepada persoalan "mengapa" dan "apakah" sebab yang membawa kepada peningkatan itu. Justeru, timbul persepsi bahawa antara puncanya ialah "pentingkan diri" yang menular dalam kalangan pengendali kenderaan (bukan semua) negara ini sehingga turut menyumbang bahaya kepada pemandu lain.
Benarkah begitu? Sekiranya "ya", ini sedikit sebanyak merujuk kepada "tahap budi bahasa" mereka di jalan raya disebabkan penularan sikap lebih pentingkan diri daripada keselamatan. Adakah benar budi bahasa sudah semakin luntur atau mereka "samseng jalanan"?
Personaliti berbeza
"Kalau dibandingkan dengan negara luar, tahap budi bahasa di negara kita masih baik. Cuma, ingin saya ingatkan terdapat dua golongan di atas jalan raya, satu adalah mereka yang memang kurang ajar, samseng jalanan.
"Golongan satu lagi, adalah mereka yang bersopan-santun di tempat kerja, rumah, tetapi apabila masuk sahaja dalam kenderaan, bertukar personaliti menjadi sebaliknya," kata Prof. Madya Dr Nor Hisham Osman.
Mengulas perkara itu, pensyarah di Universiti Malaya itu ketika ditemui Bernama berkata majoriti yang menjadi "kurang ajar" ketika di jalan raya adalah daripada golongan kedua, yang mewakili 80 peratus.
Tidak menafikan golongan pertama (samseng jalanan) juga agak "biadap". Namun mereka merangkumi skop segelintir sahaja.
Dengan menjelaskan senario "kurang ajar" seperti memotong barisan ketika di tol, menggunakan lorong kecemasan untuk cepat sampai, Nor Hisham berkata masih ramai yang keliru apabila menafsirkan "senario tidak berbudi bahasa" di jalan raya.
Disebabkan kekeliruan itu, ada segelintir pihak mempunyai persepsi bahawa kelajuan kenderaan yang dipandu seseorang itu, boleh dikira sebagai "kurang ajar".
"Adakah membawa laju itu kurang ajar? Kalau itu ditakrifkan, maksudnya semua orang kaya yang membawa kereta berkelajuan tinggi seperti Mercedes-Benz, BMW adalah daripada golongan yang kurang ajarlah di jalan raya?
"Bagi saya, kelakuan seperti melanggar lampu merah, menukar laluan tanpa memberi isyarat dan memotong kenderaan mengguna lorong kiri jalan adalah tindakan kurang ajar," katanya.
Kesesakan, tekanan ubah personaliti
Agak menghairankan. Seseorang yang berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja, di mana jua, mula berubah tatkala menaiki kenderaan.
Kalau diikutkan secara logik, seseorang yang telah sinonim dengan sesuatu amalan, sepatutnya akan tetap mengamalkannya walau di mana jua senarionya.
Akan tetapi, mengapa mereka bertukar kelakuan menjadi agresif?
"Saya rasa faktor utama seseorang individu itu menjadi kurang ajar adalah disebabkan kesesakan jalan raya. Orang yang mempunyai kesabaran tinggi pun akan jadi tidak sabar apabila berada dalam kejadian begini.
"Mereka jadi sedemikian bukanlah disengajakan. Tetapi disebabkan faktor kesesakan dan ditambah pula dengan tekanan lain, akhirnya menyebabkan mereka berpersonaliti sebaliknya," katanya.
Ketika ditanya apakah jenis tekanan itu, Nor Hisham berkata, faktor seperti tekanan kerja yang memerlukannya sampai ke destinasi tepat pada masanya sedikit sebanyak boleh mengubah kelakuan seseorang itu.
Tidak sekadar itu, malah tekanan menghadapi kesesakan jalan raya untuk mengambil anak di pusat penjagaan, sekolah, juga boleh menjurus seseorang pengendali kenderaan itu melanggar peraturan jalan raya.
"Selalunya senario ini (langgar peraturan jalan raya) berlaku ketika jalan sesak ditambah dengan tekanan lain, membuatkan mereka hilang pertimbangan.
"Hendak kata mereka pentingkan diri, ya, mereka terpaksa. Sebagai contoh, pemandu bas mungkin akan kehilangan pekerjaannya sekiranya sentiasa lambat ikut jadual. Hendak atau tidak, mereka terpaksa jadi begitu (langgar peraturan jalan raya)," katanya.
Bagi Profesor di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, sebarang perbuatan yang menambah risiko boleh dianggap sebagai tidak berbudi bahasa.
Katanya, apabila kelakuan seseorang pengendali kenderaan itu sudah sampai ke tahap menyakitkan hati orang lain, pasti ia sudah pun melampaui tahap risiko yang akan hanya meningkatkan kebarangkalian nahas jalan raya.
"Kita perlu berhati-hati dalam membuat andaian bahawa semua pemandu dan pengendali motosikal itu tidak berhemah. Bagaimanapun, mengikut statistik memang terdapat peningkatan risiko dalam perjalanan yang diakibatkan oleh pengendali kenderaan.
"Untuk mengekalkan pemanduan berbudi bahasa ini, dua perkara amat kritikal, persekitaran pemanduan yang majoritinya berhemah dan penguatkuasaan yang wujud secara berterusan dan berkesan," katanya.
Mengulas mengenai tekanan seperti mengejar masa, beliau berkata ini akan mengakibatkan pemandu mengabaikan keselamatan mereka dan dilihat sebagai pemanduan tidak berbudi bahasa.
"Sebenarnya, kita tidak boleh memberi alasan bahawa kita terlewat. Kita sebenarnya tidak pandai mengurus masa dan sering keluar lewat. Disiplin diri yang akan menghasilkan pemandu yang lebih berhemah, dan itulah yang diperlukan negara," katanya.
— Bernama
No comments:
Post a Comment